Ahad, 5 Jun 2022 | 5:47pm

LiSA boleh bantu selamatkan mangsa lemas - JBPM

MARANG: Kit menyelamat atau Life Saving Appliances (LiSA) di kawasan pantai peranginan dapat membantu orang awam jika terjadi sebarang kes kecemasan sementara menunggu pihak bomba tiba di lokasi kejadian.

Timbalan Ketua Pengarah Operasi Jabatan Bomba Dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Datuk Abdul Wahab Md Yassin, LiSA mengandungi komponen peralatan keselamatan seperti peti siren, pelampung, jaket keselamatan, throwbag rope dan peti pertolongan cemas.

Beliau berkata, pihaknya mengambil langkah meletakkan LiSA sebagai persiapan untuk menyelamatkan nyawa di kawasan pantai peranginan yang menjadi tumpuan ramai, jika ada kejadian lemas berlaku di pantai berkenaan.

"Sekiranya berlaku kecemasan, pengunjung hanya perlu memecahkan cermin untuk mengambil kunci bagi membuka pintu sebelum mengambil peralatan disediakan bagi membantu mangsa," katanya pada Program Pelancaran Majlis Keselamatan Aktivit di Air (MKAA), JBPM Terengganu 2022, di Pantai Kekabu, di sini, semalam.

Majlis pelancaran itu disempurnakan Ketua Setiausaha Kementerian Perumahan Dan Kerajaan Tempatan, Datuk M Noor Azman.

Turut hadir, Pengarah Bahagian Pengurusan Korporat JBPM, Penolong Pesuruh Jaya Bomba Mohamad Shoki Hamzah dan Pengarah JBPM Terengganu, Md Hilman Abd Rashid.

Pemasangan LiSA itu adalah yang ketiga di negeri ini selepas Pantai Batu Buruk di Kuala Terengganu dan Pantai Teluk Lipat di Dungun yang dipasang pada 2019 Dan 2020," katanya.

Abdul Wahab berkata, sejak 2019 hingga kini, terdapat sebanyak 1,200 kes lemas dikesan berlaku di seluruh negara dan sebilangan besarnya adalah membabitkan kanak-kanak berusia 15 tahun ke bawah.

Beliau berkata, kawasan pesisir pantai dikesan paling tinggi berlaku kes lemas diikuti sungai dan tali air, kawasan air terjun, tasik dan lombong tinggal.

Katanya, kecuaian ibu bapa mengawasi pergerakan anak ketika bermain air di kawasan pantai antara punca kes lemas di seluruh negara.

"Berdasarkan analisa jabatan, kalau kes yang membabitkan kanak-kanak, keluarga perlu memberi perhatian serius menjaga anak dan jangan lalai ketika berada di kawasan pantai kerana leka seketika (maklumlah) kanak-kanak ini boleh bergerak pantas dan tanpa disedari sudah berada dalam air.

"Justeru, kita mengingatkan kepada masyarakat khususnya ibu bapa sentiasa mengawasi dan peka dengan pergerakan anak-anak ketika bermain di kawasan pantai," katanya

Pada program itu, pelbagai aktiviti diadakan untuk pengunjung pantai seperti melatih kanak-kanak teknik apungkan diri di air, mengedar risalah keselamatan di air dan demonstrasi menyelamat mangsa lemas.

Dalam masa sama, beliau mengingatkan orang ramai khususnya pengunjung bersama-sama menjaga keselamatan kemudahan yang disediakan untuk kepentingan bersama.

Ketua Setiausaha Kementerian Perumahan Dan Kerajaan Tempatan, Datuk M Noor Azman menandatangani plak pada peti LiSA sambil disaksikan Datuk Abd Wahab (kiri) dan Pengarah JBPM Terengganu, Md Hilman (tengah) sempena Program Pelancaran Majlis Keselamatan Aktivit di Air (MKAA), Di Pantai Kekabu. - Foto ZAID SALIM
Ketua Setiausaha Kementerian Perumahan Dan Kerajaan Tempatan, Datuk M Noor Azman menandatangani plak pada peti LiSA sambil disaksikan Datuk Abd Wahab (kiri) dan Pengarah JBPM Terengganu, Md Hilman (tengah) sempena Program Pelancaran Majlis Keselamatan Aktivit di Air (MKAA), Di Pantai Kekabu. - Foto ZAID SALIM
Berita Harian X