Ahad, 5 Jun 2022 | 10:48am

'Durian belum luruh tapi sudah ditempah'

SINTOK: "Buah durian masih di pokok, tapi sudah ada pelanggan yang menempahnya dan mereka akan datang ambil sebaik buah luruh," kata Sharliza Shahidan, 53, peniaga durian di Batu 15, Jalan UUM-Sintok di sini.

Beliau berkata, setiap pagi dia akan menghabiskan masa kira-kira tiga jam bermula jam 7 pagi untuk mengutip durian luruh dari pokok di dusunnya terletak tidak jauh dari gerai bersama anak, Mohd Izzuwan Ismail, 30.

Katanya, mereka masih mengekalkan berniaga timbang isi durian dalam bekas tanpa kulit kerana jika ada buah yang buruk atau keras akan digantikan dengan yang baharu.

"Jika ada pelanggan nak beli buah durian sebiji pun saya jual, tetapi mengikut gred A, B atau C dengan harga mampu dibeli.

"Sebaik keluar dari dusun jam 9 pagi, pelanggan sudah tunggu kami untuk mengupas kulit sebelum dimasukkan ke dalam bekas untuk ditimbang.

"Setiap hari saya mampu jual antara 120 hingga 150 biji durian mengikut timbangan kilogram (kg) sama ada isi durian atau termasuk kulit," katanya ketika ditemui di gerainya hari ini.

Antara durian yang dijual termasuk jenis kampung, udang merah, tekka, 101, 168, udang merah, B28, B26, D99, Musang King, kungpo dan 604.

Sharliza berkata, musim durian baru bermula sejak minggu lalu dan dia menjangkakan buah akan luruh lebih banyak minggu depan, namun bergantung kepada keadaan.

Katanya, dia menjual durian timbang isi RM40kg, namun kebanyakan pelanggan berpuas hati kerana mereka tidak perlu lagi mengupas kulit dan terus makan dalam bekas durian itu.

"Saya belum membuka tempahan di laman sosial Facebook (FB) seperti tahun sebelumnya dan hanya menjual pada sesiapa yang melalui kawasan gerai ini, selain melalui kumpulan WhatsApp rakan sahaja.

"Kalau ada yang mahu beli buah durian sebiji saya jual, tetapi ikut gred A, B atau C dengan harga yang mampu dibeli iaitu RM20kg," katanya.

Seorang pelanggan, Firdaus Abdul Karim, 35, berkata dia sanggup datang awal pagi semata-mata untuk menempah isi durian kerana biasanya buah akan habis jika tiba lewat.

Dia yang membeli tiga bekas berpuas hati membeli durian timbang isi kerana sudah tentu isinya elok, berbanding di tempat lain.

Mohd Shafie Yahya, 58, pula berkata dia berpuas hati membeli durian di situ kerana isinya tebal selain buahnya yang elok.

"Durian timbangan isi lebih mudah untuk dibawa pulang ke Perak dan baunya juga kurang berbanding durian yang dibeli sekali dengan kulit," katanya.

Sharliza menunjukkan durian yang sudah di tempah pelanggan walaupun belum luruh. - Foto NSTP/Zuliaty Zulkiffli
Sharliza menunjukkan durian yang sudah di tempah pelanggan walaupun belum luruh. - Foto NSTP/Zuliaty Zulkiffli
Berita Harian X