Sabtu, 4 Jun 2022 | 8:51pm
Dr Nur Amalina Che Bakri mengumumkan dirinya hamil anak pertama. - Foto Instagram Dr Nur Amalina
Dr Nur Amalina Che Bakri mengumumkan dirinya hamil anak pertama. - Foto Instagram Dr Nur Amalina

Dr Nur Amalina hamil anak sulung

KUALA LUMPUR: Rahsia yang disimpan sekian lama akhirnya dirungkai pakar bedah kelahiran Malaysia, Dr Nur Amalina Che Bakri, yang mengumumkan dirinya hamil anak pertama hasil perkongsian hidup bersama suami, Alexander Charles.

Mencoretkan berita gembira itu melalui laman media sosial Instagram, Dr Nur Amalina, 35, nyata amat teruja berkongsi pengalaman kehamilannya.

"Saya akui bertugas dalam tempoh panjang dan pada masa sama menyiapkan PhD (Ijazah Doktor Falsafah) sememangnya sukar dan memenatkan.

"Saya melalui trimester pertama kehamilan yang sukar sehingga awal trimester kedua, terutama dengan alahan dan muntah sehingga kehilangan berat badan.

"Keletihan juga memainkan faktor. Apabila anda terpaksa menyiapkan pelbagai tugas, kadang-kala ia boleh menjadi cabaran yang nyata. Perkara yang dahulu boleh saya lakukan tiba-tiba menjadi satu tugas yang sukar," katanya.

Dr Nur Amalina berkata, kajian diterbitkan dalam jurnal JAMA Surgery menunjukkan pakar bedah berkemungkinan mengalami kesukaran ketika hamil dan melahirkan anak sehingga terpaksa menangguhkan kehamilan mereka untuk mencari masa sesuai.

Bagaimanapun, beliau bersyukur kerana dikurniakan suami dan ibu, Sabariah Hassan, yang sentiasa memahami serta menyokongnya.

"Saya sangat bertuah kerana mempunyai suami yang sangat menyokong untuk melalui perjalanan ini bersama-sama. Dia sangat teruja dan membaca semua buku berkaitan bayi yang disyorkan.

"Malah, mungkin dia lebih banyak tahu mengenai kehamilan berbanding saya.

"Ibu saya sangat mengagumkan dan sentiasa memastikan saya makan dengan mencukupi. Ibu membekukan banyak makanan dalam peti sejuk sebelum pulang ke Malaysia baru-baru ini," katanya.

Dr Nur Amalina berkata, keadaannya kini bertambah baik dan berasa seronok melalui perjalanan sebagai wanita hamil apabila merasai pergerakan bayi dalam kandungan.

"Saya teruja berkongsi pengalaman terutama berkaitan realiti dan cabaran sepanjang kehamilan ini, termasuk perkara pendidikan perubatan berhubung kehamilan," catatnya.

Dr Nur Amalina melangsungkan perkahwinannya dengan jejaka Inggeris itu di London, tahun lalu.

Beliau adalah pelajar cemerlang yang pernah mencatat sejarah dengan kejayaan meraih 17A1 dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada 2004.

Berita Harian X