Jumaat, 3 Jun 2022 | 10:45am
Anggota APM Kuala Muda melakukan tugas operasi membantu penduduk memindahkan barangan ke tempat tinggi berikutan banjir kilat di Kampung Haji Ngah, Bedong, Sungai Petani. - Foto APM
Anggota APM Kuala Muda melakukan tugas operasi membantu penduduk memindahkan barangan ke tempat tinggi berikutan banjir kilat di Kampung Haji Ngah, Bedong, Sungai Petani. - Foto APM

'Tiada hujan tapi rumah naik air'

SUNGAI PETANI: "Air masih bergenang dalam rumah bercampur lumpur walaupun mulai surut...teruk juga la nak cuci rumah," kata Mohd Nizam Che Ya.

Mohd Nizam, 44, dari Kampung Haji Ngah, Bedong, dekat sini, berkata air naik dengan pantas menyebabkan mereka sekeluarga tidak sempat memindahkan barang ke tempat lebih tinggi.

Beliau tidak menyangka rumah mereka dinaiki air setinggi 0.3 meter walaupun tiada hujan dan keadaan cuaca baik.

"Ketika saya pulang dari mengambil anak di sekolah jam 4 petang, air sudah memenuhi kawasan belakang rumah.

"Saya dan anak-anak sempat mengangkat barang-barang yang ada manakala yang lain tak sempat angkat.

"Ketika kejadian isteri saya keluar bekerja dan kami hanya mampu melihat air masuk ke dalam rumah hingga paras betis," katanya ketika dihubungi hari ini.

Pegawai Pertahanan Awam Daerah Kuala Muda, Kapten (PA) Azhar Ahmad berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu pada jam 6.41 petang membabitkan 49 mangsa daripada 10 keluarga di Kampung Haji Ngah, Bedong yang terjejas akibat banjir kilat.

Beliau berkata, bagaimanapun tiada pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka di kawasan itu setakat ini.

"Anggota kami membantu mangsa memindahkan barangan ke tempat tinggi.

"Punca banjir disebabkan masalah sistem perparitan dan paras air sungai berdekatan meningkat namun setakat ini air sudah surut sepenuhnya," katanya.

Berita Harian X