Selasa, 31 Mei 2022 | 7:54pm

Penduduk berhampiran 'Black Lake' tidak tahan bau busuk

KUALA LUMPUR: Bau kurang menyenangkan yang dihidu sejak semalam oleh sebahagian penduduk sekitar Bandar Mahkota Cheras, Cheras, di sini mengundang rasa tidak selesa menyebabkan mereka membuat aduan kepada pihak berwajib.

Bau kuat seperti sampah busuk itu dipercayai berpunca daripada sebuah tasik bekas kuari yang dipanggil tasik 'Black Lake' oleh penduduk setempat dan dikesan dijadikan tapak pembuangan sampah secara haram.

Penduduk yang tidak tahan dengan keadaan itu segera menyuarakan perkara berkenaan menerusi laman media sosial menuntut pihak yang berwajib untuk memantau keadaan itu dan segera mengambil tindakan.

Penduduk di Seksyen 6 Bandar Mahkota Cheras, Hidayu Hassan, 39, berkata bau kurang menyenangkan mula dapat dihidu sejak pagi semalam namun keadaan itu menjadi lebih serius awal pagi tadi.

"Saya terjaga dari tidur kira-kira jam 5 pagi dan terbau sesuatu yang busuk. Pada mulanya saya ingat bau itu datang dari bilik air tetapi apabila saya buka pintu utama rumah, bau berkenaan terlalu kuat, seperti bau sampah busuk dan ada juga bau masam seperti bahan kimia.

"Saya menyangka perkara ini tidak disedari penduduk lain, namun apabila saya buka media sosial, ramai sebenarnya penduduk sekitar Bandar Mahkota Cheras yang berkongsi perkara sama," kepadanya kepada BH, hari ini.

Katanya, bau berkenaan terlalu kuat menyebabkan dia berasa pening dan dia yang sepatutnya bekerja dari rumah, terpaksa ke pejabat kerana tidak tahan dengan bau berkenaan.

"Saya mengambil keputusan untuk buat aduan kepada pihak Jabatan Alam Sekitar (JAS). Pertama melalui aduan secara dalam talian diikuti dengan aduan terus menerusi panggilan telefon.

"Sekiranya perkara ini berterusan, kita bimbang ia boleh menjejaskan kesihatan, apatah lagi kepada anak-anak kecil dan warga emas kerana dikawasan sekitar sini banyak kediaman dijadikan rumah kebajikan warga emas," katanya.

Beliau turut memaklumkan, seorang rakannya yang tinggal di Sungai Long, Kajang turut menceritakan perkara sama mengenai bau kurang menyenangkan dan bau berkenaan mula reda tengah hari tadi.

Menerusi perkongsian di Facebook, seorang pengguna laman media sosial itu, Rozie Roziah di akaun Bandar Mahkota Cheras (Community) menyuarakan rasa tidak senang dengan keadaan yang berlaku di tasik berkenaan yang kini dipenuhi sampah.

"Apa dah jadi? Tergamak kan, tamak, pentingkan diri sendiri. Hari ini seluruh Bandar Mahkota Cheras menghirup udara kotor.

"Bayangkan bagi yang tinggal berhampiran lokasi. Yang ada anak-anak kecil, warga tua, yang berpenyakit asthma, Awal pagi kak min dapat maklumat dari kumpulan WhatsApp Bandar Mahkota Cheras tentang kejadian ini," katanya.

Menerusi hantaran itu juga, beliau memuat naik dua gambar menunjukkan keadaan tasik berkenaan dalam keadaan yang dipenuhi sampah sarap ditambah pula dengan warna air tasik itu yang hitam.

Hantaran di Facebook itu turut mendapat perhatian Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man yang kemudian memaklumkan perkara itu kepada pihak JAS untuk tindakan susulan.

Menerusi satu hantaran di Facebook, tengah hari tadi, beliau berkata, pihaknya mendapat maklumat berkaitan perkara itu sejak awal pagi tadi selepas namanya dipetik oleh pengguna laman media sosial.

"Saya telah kongsikan info (maklumat) ini kepada Ketua Pengarah JAS untuk tindakan susulan. Insya-Allah, saya akan kemas kini hasil siasatan dan maklum balas daripada pihak JAS nanti. Insya-Allah," katanya.

Sementara itu, Ahli Parlimen Bangi, Dr Ong Kian Ming menerusi ciapan di Twitter pula turut berkongsi isu sama dan memaklumkan tasik 'Black Lake' sudah bertukar menjadi tempat pembuangan sampah haram.

"Black Lake in Bandar Mahkota Cheras turned into an illegal dump site. Site visit this morning.

@MPKajang and Hulu Langat land office to take follow up action. (Black Lake di Bandar Mahkota Cheras bertukar kepada tempat pembuangan haram. Lawatan ke lokasi pagi tadi. @MPKajang (Majlis Perbandaran Kajang) dan Pejabat Daerah dan Tanah Hulu Langat untuk melakukan tindakan susulan)," katanya.

Bersama ciapannya itu, beliau turut berkongsikan sekeping gambar yang diambil di kawasan tasik berkenaan yang hampir keseluruhan dipenuhi dengan sampah-sarap.

Tasik Air Hitam Bandar Mahkota Cheras yang menjadi tempat pembuangan sampah mengundang perasaan tidak selesa penduduk setempat dan berdekatan akibat pencemaran bau. NSTP/EIZAIRI SHAMSUDIN
Tasik Air Hitam Bandar Mahkota Cheras yang menjadi tempat pembuangan sampah mengundang perasaan tidak selesa penduduk setempat dan berdekatan akibat pencemaran bau. NSTP/EIZAIRI SHAMSUDIN
Berita Harian X