Isnin, 30 Mei 2022 | 1:44pm
Foto hiasan.
Foto hiasan.

KKM arah mentega kacang tercemar ditarik balik

PUTRAJAYA: Kementerian Kesihatan (KKM) sudah mengarahkan syarikat pengimport produk mentega kacang jenama Jif, menarik balik produk itu kerana dikhuatiri tercemar dengan bakteria Salmonella.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, berkata tindakan itu diambil selepas pihaknya mengambil maklum berkaitan penarikan balik produk mentega jenama berkenaan dari pasaran Amerika Syarikat.

"Pihak Berkuasa Dadah dan Makanan, Amerika Syarikat (FDA) mengarahkan produk mentega kacang berjenama Jif dengan nombor kumpulan antara 1274425 hingga 2140425 iaitu hanya membabitkan tiga digit terakhir 425, ditarik balik kerana tercemar dengan bakteria Salmonella.

"Melalui semakan KKM ke atas data Food Safety Information System of Malaysia (FoSIM), ia mengesahkan produk mentega kacang berjenama Jif berkenan ada diimport ke negara ini.

"KKM sudah meminta pihak syarikat pengimport menarik balik produk yang berkenaan di pasaran. Selain itu, KKM melalui Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan memantau di semua pintu masuk negara bagi memastikan tiada produk itu memasuki ke negara ini," katanya.

Beliau berkata, peniaga yang menjual produk berkenaan juga dengan nombor kumpulan yang sama juga diminta menghentikan penjualan serta-merta.

"Bagi pengguna yang membeli produk itu dengan nombor kumpulan yang dinyatakan diminta untuk tidak memakan produk berkenaan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, Salmonella adalah sejenis bakteria yang boleh menyebabkan keracunan makanan sekiranya terdapat dalam makanan seperti daging, ayam, telur, buah-buahan, sayur-sayuran dan makanan yang diproses jika aspek kebersihan diabaikan atau makanan tidak diproses dengan sempurna.

"KKM sentiasa peka dan prihatin terhadap perkara yang boleh mengancam kesihatan pengguna.

"Sebarang maklumat atau kemusykilan berhubung isu ini, pengguna boleh menghubungi Pejabat Kesihatan Daerah yang terdekat, menyalurkan melalui laman web http://moh.spab.gov.my atau laman facebook Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan (BKKM) www.facebook.com/bkkmhq," katanya.

Berita Harian X