Ahad, 29 Mei 2022 | 6:17pm
Keadaan air Sungai Aur yang kembali selepas bertukar biru semalam akibat pencemaran. (foto kecil) keadaan air Sungai Aur berwarna biru. - NSTP/HAIRUL ANUAR RAHIM
Keadaan air Sungai Aur yang kembali selepas bertukar biru semalam akibat pencemaran. (foto kecil) keadaan air Sungai Aur berwarna biru. - NSTP/HAIRUL ANUAR RAHIM

Sungai Aur pernah bertukar merah jambu, warna susu

KLANG: Penduduk Pangsapuri Taman Permai Indah di Pandamaran Jaya, di sini, mendakwa pencemaran Sungai Aur yang bertukar menjadi biru sudah berlaku sejak lima tahun lalu.

Menyifatkan ia umpama pencemaran bermusim, ada penduduk mendakwa pencemaran sungai terletak kurang 50 meter dari blok kediaman mereka itu bukan sekadar menyebabkan air bertukar biru, malah pernah kelihatan bertukar merah jambu atau seperti susu.

Zakaria Yusuf, 50, berkata pencemaran sungai semalam menjadikan tiga insiden air Sungai Aur bertukar warna tahun ini.

"Saya nampak warna sungai itu bertukar biru kira-kira jam 10 pagi semalam. Warnanya tidak sepekat pencemaran sebelum ini.

"Ia juga membebaskan bau tidak menyenangkan seperti bahan kimia. Agak tidak selesa apabiila berada berdekatan sungai," katanya kepada BH.

Sementara itu, tinjauan semalam mendapati sungai berkenaan tidak lagi kelihatan biru, namun terdapat bau seakan-akan bahan kimia dan busuk dikesan sekiranya berdiri berhampiran.

Dalam pada itu, penduduk mendakwa terdapat kawasan perindustrian terletak kira-kira lima kilometer (km) dari penempatan mereka.

Kawasan itu pula dikatakan berhampiran sungai, sekali gus memungkinkan pencemaran yang dikesan berpunca dari situ.

Jabatan Alam Sekitar (JAS) Selangor dalam satu kenyataan hari ini mengesahkan sebuah premis menjalankan kegiatan mencuci tong bahan kimia secara haram, sebelum sisa air basuhan disalurkan terus longkang dikesan menjadi punca Sungai Aur dekat sini bertukar menjadi biru, petang semalam.

Mengesahkan perkara itu, Pengarah JAS Selangor, Nor Aziah Jaafar, berkata operasi bersama penguat kuasa Majlis Perbandaran Klang (MPK) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) menemukan ratusan tong terpakai di lokasi terbabit petang semalam.

Susulan terbongkarnya kegiatan itu semalam, Nor Aziah berkata, kes itu ada kaitan dengan insiden air Sungai Aur berwarna biru yang menggemparkan penghuni Pangsapuri Taman Permai Indah, Pandamaran yang didedahkan Disember tahun lalu.

Berita Harian X