Ahad, 29 Mei 2022 | 3:34pm

PKR: Shamsul Iskandar gagal di Cabang Hang Tuah Jaya

MELAKA: Calon Naib Presiden PKR, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin, gagal dalam cubaan merebut jawatan Ketua PKR Cabang Hang Tuah Jaya apabila tewas kepada penyandang jawatan itu, Mohd Rafee Ibrahim.

Ahli Parlimen Hang Tuah Jaya itu yang berpindah dari Cabang Jasin untuk merebut jawatan di Hang Tuah Jaya tewas tipis apabila memperoleh 379 undi berbanding Mohd Rafee yang mendapat 488 undi.

Shamsul Iskandar antara lapan calon Naib Presiden PKR, sebelum ini turut tewas dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Paya Rumput dalam Parlimen Hang Tuah Jaya.

Keputusan awal itu turut menunjukkan Pengerusi PKR Melaka, Datuk Abd Halim Bachik berjaya mempertahankan jawatan Ketua Cabang Masjid Tanah apabila hanya menang tipis dengan majoriti empat undi selepas mendapat 294 undi manakala dua lagi pencabarnya, Amran Othman (290 undi) dan Hasmorni Tamby (17 undi).

Pertandingan empat penjuru di Cabang Tangga Batu menyaksikan Ahli Parlimen Tangga Batu, Dr Rusnah Aluai menang dengan majoriti 192 undi selepas memperoleh 370 undi, mengalahkan Md Yusof Abdullah (178 undi), Mohd Nasir Mamat (113 undi) dan Azman Hamid (70 undi), manakala Ketua Pemuda PKR negeri, B Prasanth Kumarpula gagal merebut jawatan Ketua Cabang Jasin selepas mendapat 96 undi berbanding R Jagatheson (175 undi) dan Zulkefly Othman (61 undi).

Dua calon wanita yang bertanding bagi jawatan Ketua Cabang, berjaya menewaskan pencabar masing-masing.

Mahani Masban menang di Cabang Kota Melaka apabila mendapat 150 undi manakala dua pencabarnya, Mohd Ashiq Abd Samad (116 undi) dan Mahadir Mohd (115 undi), manakala bekas ADUN Machap Jaya, Datuk Ginnie Lim Siew Lin pula mempertahankan jawatan apabila mendapat 594 undi menewaskan pencabarnya, Ahmad Abdul Wahid (445 undi).

Ketua Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP) Melaka, Datuk Gue Teck, ketika dihubungi, berkata keputusan itu mengambil kira undian yang dilakukan secara fizikal dan atas talian oleh perwakilan seluruh negeri yang diadakan sejak pertengahan bulan ini.

Berita Harian X