Ahad, 29 Mei 2022 | 3:09pm

Keputusan pemilihan PKR 2022 mula disiarkan hari ini

KUALA LUMPUR: Proses pengundian semula Pemilihan PKR 2022 berakhir semalam dengan 12 cabang di empat negeri selesai melaksanakannya.

Serentak dengan itu, keputusan keseluruhan pemilihan peringkat kebangsaan dan cabang parti itu diketahui hari ini melalui laman web https://pemilihankeadilan2022.com.

Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP) PKR, Dr Zaliha Mustafa berkata, keseluruhannya pemilihan kali ini berjalan lancar.

"Alhamdulillah, berjalan lancar, tiada insiden yang tidak diingini seperti pemilihan lepas, suasana pun lebih tenang..... keputusan boleh dilihat di laman web Pemilihan PKR, " katanya kepada BH.

Pengundian Pemilihan PKR berlangsung 13 hingga 22 Mei lalu secara fizikal manakala pengundian atas talian mulai 18 hingga 20 Mei menerusi aplikasi ADIL.

Mulai hari ini Pemilihan PKR memasuki fasa proses pencalonan bagi calon yang berminat untuk menawarkan diri untuk jawatan-jawatan Majlis Pimpinan Pusat (MPP), Majlis Pimpinan Wanita Pusat (MPWP) dan Majlis Pimpinan Angkatan Muda Keadilan Pusat (MPAMKP).

Pencalonan secara fizikal bermula jam 9 pagi tadi hingga 5 petang, di pusat pencalonan di Ibu Pejabat PKR, Tropicana Petaling Jaya manakala pencalonan dalam talian adalah menerusi aplikasi ADIL yang mana masa pencalonan bermula jam 12.01 tengah hingga jam 11.59 malam 31 Mei.

Tempoh pencalonan secara dalam talian pula bermula hari ini sehingga 31 Mei ini.

Keputusan pengundian bagi jawatan MPP, MPWP dan MPAMKP akan diumumkan di dalam kongres masing-masing sejurus selepas proses pengundian 20 Ahli MPP, 20 Ahli MPWP dan 20 Ahli MPAMKP selesai dijalankan di dalam kongres masing-masing.

Kongres Nasional AMK dan Wanita akan dianjurkan pada 24 Jun 2022, Jumaat.

JPP akan mengendalikan pengundian 20 Ahli MPWP dan MPAKP di dalam kongres masing-masing manakala pengundian 20 ahli MPP akan dilakukan pada 25 Jun di dalam Kongres Nasional PKR.

Semua urusan JPP dan perjalanan JPP adalah menurut Peraturan Pemilihan dan Tatacara Pemilihan Parti Pindaan 21 Februari 2022

Berita Harian X