Ahad, 29 Mei 2022 | 11:27am
Penguat kuasa Jabatan Alam Sekitar (JAS) Selangor bersama Majlis Perbandaran Klang (MPK) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) menyerbu premis yang menjalankan kegiatan cuci tong kini jadi punca air Sungai Aur bertukar biru. - Foto NSTP/IHSAN JAS 
Penguat kuasa Jabatan Alam Sekitar (JAS) Selangor bersama Majlis Perbandaran Klang (MPK) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) menyerbu premis yang menjalankan kegiatan cuci tong kini jadi punca air Sungai Aur bertukar biru. - Foto NSTP/IHSAN JAS 

'Misteri Sungai Aur bertukar biru terbongkar'

KLANG: Operasi sebuah premis yang menjalankan kegiatan mencuci tong bahan kimia secara haram, sebelum sisa air basuhan disalurkan terus ke longkang, dikesan menjadi punca Sungai Aur dekat sini bertukar menjadi biru, petang semalam.

Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS) Selangor, Nor Aziah Jaafar, berkata operasi bersama penguat kuasa Majlis Perbandaran Klang (MPK) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) menemukan ratusan tong terpakai di lokasi terbabit petang semalam.

"Dalam operasi berakhir sekitar jam 8 malam tadi, kami menemui ratusan tong terpakai yang bersedia untuk dicuci di satu ruang terbuka, di mana aliran air berwarna biru turut ditemui di longkang di luar premis sehingga ke longkang besar berhampiran.

"Siasatan mendapati, kegiatan mencuci tong-tong terpakai berisi sisa kimia yang dikategorikan sebagai buangan terjadual dengan kod SW409 itu dijalankan tanpa sebarang kelulusan JAS.

"Dalam operasi serbuan itu, wakil premis seorang lelaki berumur lewat 40-an turut ditahan bagi membantu siasatan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Nor Aziah berkata, premis dikenakan notis Penahanan Operasi Kelengkapan (POK) mengikut Seksyen 38(1)(a) Akta Kualiti Alam Sekeliling, 1974 bagi menghentikan pencemaran dan sehingga siasatan lanjut selesai dijalankan.

"Kesalahan disiasat mengikut Seksyen 34A, Seksyen 34B, Seksyen 25, Seksyen 18 dan Seksyen 19 Akta Kualiti Alam Sekeliling, 1974.

"Kompaun keseluruhan bernilai RM500,000 dikeluarkan atas pelbagai kesalahan di bawah Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Buangan Terjadual) 2005.

"Beberapa sampel air berwarna dan sisa buangan terjadual berkaitan kes akan dihantar ke Jabatan Kimia Malaysia (JKM) untuk analisis lanjut," katanya.

Susulan terbongkarnya kegiatan itu semalam, beliau berkata, kes itu ada kaitan dengan insiden air Sungai Aur berwarna biru yang menggemparkan penghuni Pangsapuri Taman Permai Indah, Pandamaran yang didedahkan awal Disember tahun lalu.

Katanya, kejadian pada 2 Disember tahun lalu itu mendapat perhatian penduduk setempat.

"JAS Selangor memandang serius kesalahan yang dilakukan mengikut Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 dan peraturan-peraturan di bawahnya serta tidak teragak-agak mengambil tindakan tegas kepada penjenayah alam sekitar.

"Terima kasih kepada orang awam yang membantu memberi maklumat tentang aktiviti-aktiviti yang mencemarkan alam sekitar.

"Saya juga menyeru orang awam untuk melaporkan sebarang aktiviti yang mencemarkan alam sekitar di talian bebas tol 1-800-88-2727 yang beroperasi 24 jam sehari atau emel ke aduan_k@doe.gov.my dan melalui portal e-aduan JAS di https://eaduan.doe.gov.my," katanya.

Berita Harian X