Sabtu, 28 Mei 2022 | 2:07pm

HFMD: 180 taska, tadika ditutup

KUANTAN: Sebanyak 180 tabika dan taska diarahkan tutup berikutan penularan penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD) di seluruh negara sehingga semalam.

Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid, berkata daripada jumlah itu penutupan membabitkan 105 tabika dan 75 taska kecuali di Negeri Sembilan dan Melaka.

Beliau berkata, semua penutupan itu dilakukan selepas pihaknya mendapat nasihat daripada Kementerian Kesihatan (KKM).

"Penutupan tabika dan taska selama 10 hari dan selepas tempoh itu, sama ada boleh dibuka dan sebaliknya bergantung kepada keputusan KKM," katanya.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Ramah Mesra dan Sambutan Aidilfitri Bersama Warga Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) Pahang di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Ketua Setiausaha Kementerian Pembangunan Luar Bandar, Datuk Ramlan Harun dan Ketua Pengarah KEMAS, Datuk Mohamad Yasid Bidin.

Mahdzir berkata, dalam kes HFMD, KEMAS sentiasa memantau perkembangan dan mengambil langkah proaktif dalam menangani penularan penyakit itu di premis tabika dan taska.

Katanya, ibu bapa dan penjaga tidak perlu bimbang kerana jabatan berkenaan sentiasa memantau setiap hari kehadiran kanak-kanak yang hadir ke tabika dan taska.

"Kita juga minta 12,043 Pendidik Masyarakat tabika dan 1,837 Pendidik Masyarakat taska mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dengan melakukan saringan awal seperti mengukur suhu badan setiap kali kanak-kanak ini hadir ke kelas.

"Selain itu, turut diedarkan Garis Panduan Pencegahan Penularan Penyakit Berjangkit ke seluruh tabika dan taska.

"Ibu bapa dinasihatkan supaya memantau kesihatan anak yang mempunyai gejala seperti demam, tanda ulser pada mulut dan lidah, ruam dan lepuh pada tangan dan kaki serta tidak perlu menghantar anak mereka ke tabika dan taska," katanya.

Mahdzir ketika beramah mesra bersama petugas KEMAS pada Majlis Ramah Mesra Aidilfitri KEMAS Negeri Pahang. - Foto NSTP/Farizul Hafiz Awang
Mahdzir ketika beramah mesra bersama petugas KEMAS pada Majlis Ramah Mesra Aidilfitri KEMAS Negeri Pahang. - Foto NSTP/Farizul Hafiz Awang
Berita Harian X