Jumaat, 27 Mei 2022 | 2:04pm
 Foto hiasan
Foto hiasan

Pakar cadang pengembara imbas kod QR kekang cacar monyet

KUALA LUMPUR: Pakar mencadangkan pengembara yang tiba dari negara endemik atau negara yang mempunyai beberapa kes cacar monyet membuat imbasan kod QR MySejahtera untuk masuk ke premis bagi memastikan keberkesanan dalam mengekang penularan virus itu.

Pakar Perubatan Kesihatan Komuniti dan Ekonomi Kesihatan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Dr Sharifa Ezat Wan Puteh, berkata ia bertujuan untuk mengesan kontak kepada pesakit jika tanda muncul lewat atau setelah ujian Real-Time Reverse Transcription-Polymerasa Chain Reaction (RT-PCR) menjadi positif.

Katanya, ini kerana terdapat kemungkinan pengembara itu menjadi pembawa virus tanpa disedari kerana simptom hanya dapat dilihat dalam tempoh beberapa hari kemudian.

"Jika pengembara ini sebagai contoh adalah pelawat yang baru tiba dari negara endemik atau negara yang mempunyai kes cacar monyet, sudah pasti dia akan ke tempat awam, atau masuk ke mana-mana premis untuk membeli barang.

"Jadi dengan mengimbas semula kod QR untuk masuk ke premis, kita boleh mengesan semula kontak dan lokasi yang pelawat itu pergi sebelum ini jika dia disahkan mempunyai cacar monyet," katanya kepada BH, hari ini.

Semalam BH melaporkan, Kementerian Kesihatan (KKM) mengeluarkan notis kesihatan cacar monyet dalam aplikasi MySejahtera mulai hari ini.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin, dilaporkan berkata, selepas pengembara mengisi borang pra-pelepasan dalam aplikasi MySejahtera, pengembara yang tiba dari negara endemik cacar monyet atau dari negara yang melaporkan kes cacar monyet akan menerima notis kesihatan setiap hari selama 21 hari sebagai peringatan untuk membuat pemantauan kesihatan kendiri.

"Tempoh 21 hari itu kerana ia adalah tempoh inkubasi virus dan sekiranya bergejala, hendaklah segera mendapatkan rawatan di fasiliti kesihatan berhampiran.

"Kebolehjangkitan virus cacar monyet ini tinggi sekiranya bergejala dan ini adalah satu yang kita boleh kawal melalui langkah kesihatan awam," katanya dalam sidang media yang berlangsung secara maya dari Geneva, Switzerland.

Mengulas lanjut, Dr Sharifa berkata, beliau yakin dengan mengimbas semula kod QR setiap kali pengembara terbabit masuk ke premis, ia dapat membantu mengekang virus itu dengan lebih berkesan.

Katanya, ini kerana virus itu boleh merebak melalui sentuhan langsung, titisan saluran pernafasan (respiratory droplets) dan hubungan seksual seperti yang baru dikesan di negara luar.

"Namun keberkesanan ini lebih bermakna jika pengembara berkenaan terutama dari luar negara, mematuhi arahan pergerakan yg ditetapkan KKM," katanya.

Beliau berkata, pemantauan sedemikian penting untuk memantau pergerakan pengembara yang datang ke negara ini terutama dari negara berisiko dan menyebarkan virus tanpa diketahui penghidapnya.

"Sekarang ini memang di Malaysia belum ada lagi kes kerana transmisi virus cacar monyet tidak setinggi virus COVID-19 yang sangat mudah merebak.

"Namun dengan sempadan negara yang sudah dibuka, ia dibimbangi dapat masuk ke negara ini bila-bila masa," katanya.

Justeru beliau berharap, walaupun KKM sudah menggerakkan pasukan kesihatan di semua pintu masuk antarabangsa untuk melaksanakan aktiviti pencegahan awal dan penularan dalam komuniti, namun pemantauan secara lebih serius masih perlu dilaksanakan.

Mulai awal bulan ini, kerajaan tidak lagi mewajibkan orang ramai membuat imbasan kod QR menerusi aplikasi MySejahtera apabila memasuki premis atau tempat awam lain.

Bagaimanapun, orang awam disarankan supaya mengaktifkan fungsi MySJ Trace bagi pengesanan kontak.

Berita Harian X