Jumaat, 27 Mei 2022 | 1:26pm
 Datin Seri Rosmah Mansor. - Foto fail NSTP
Datin Seri Rosmah Mansor. - Foto fail NSTP

Rosmah gagal lagi batal kes rasuah

PUTRAJAYA: Mahkamah Persekutuan hari ini menolak permohonan Datin Seri Rosmah Mansor untuk membatalkan pertuduhan kes rasuah berhubung projek solar hibrid dan menggugurkan Datuk Seri Gopal Sri Ram sebagai ketua pendakwaan.

Panel tiga hakim dipengerusikan Datuk Seri Mohd Zawawi Salleh yang bersidang bersama Datuk Vernon Ong Lam Kiat dan Datuk Mohamad Zabidin Mohd Diah sebulat suara menolak permohonan Rosmah untuk membatalkan pertuduhan.

Mohd Zawawi berkata, pihaknya sependapat dengan Mahkamah Rayuan sebelum ini yang memaklumkan mahkamah jenayah tidak mempunyai bidang kuasa untuk membatalkan kes berkenaan dan menggugurkan ketua pendakwaan itu.

Beliau berkata, apa yang dimohon Rosmah mesti tertakluk mengikut perkara dibenarkan Kanun Acara Jenayah (CPC).

"Mahkamah jenayah tidak diberi kuasa untuk memberi perintah berbentuk deklarasi. Ini kerana ada undang-undang bertulis seperti Akta Mahkamah Kehakiman serta Perintah 15 dan 53 Kaedah-Kaedah Mahkamah Tinggi yang memberi kuasa kepada mahkamah sivil.

"CPC pula undang-undang yang menyeluruh dan komprehensif berkaitan prosedur prosiding mahkamah jenayah. Maka, persoalan mengenai mahkamah jenayah mempunyai kuasa untuk menerima apa yang dimohon (Rosmah) tidak boleh dibangkitkan," katanya.

Rosmah diwakili peguam, Datuk Akberdin Abdul Kader dan Datuk Jagjit Singh manakala pihak pendakwaan selaku responden diwakili Sri Ram.

Pada 6 Disember lalu, Mahkamah Rayuan menolak rayuan Rosmah berkaitan perkara sama.

Panel tiga hakim dipengerusikan Datuk Hanipah Farikullah yang bersidang bersama Datuk M Gunalan dan Datuk Hashim Hamzah sebulat suara menolak rayuan berkenaan selepas membenarkan bantahan awal pendakwa raya yang dinamakan sebagai responden.

Pada 24 September lalu, Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Mohamed Zaini Mazlan menolak permohonan Rosmah untuk membatalkan pelantikan Sri Ram daripada mengetuai perbicaraan kes rasuahnya.

Dalam keputusannya, Mohamed Zaini berkata, pelantikan Sri Ram oleh Peguam Negara ketika itu, Tan Sri Tommy Thomas adalah sah, selain tiada keperluan untuk membahaskan isu kesahihan berhubung surat pelantikan.

Keputusan sama ada Rosmah didapati bersalah atau bebas daripada pertuduhan rasuah membabitkan projek solar hibrid untuk 369 sekolah luar bandar di Sarawak, akan diketahui pada 7 Julai ini.

Mengikut pertuduhan, Rosmah didakwa meminta suapan RM187.5 juta daripada Pengarah Urusan Jepak Holdings Sdn Bhd, Saidi Abang Samsudin, melalui pembantunya ketika itu, Rizal Mansor, sebagai dorongan untuk membantu syarikat mendapatkan projek solar menerusi rundingan terus dengan Kementerian Pendidikan.

Beliau turut didakwa menerima rasuah berjumlah RM6.5 juta daripada Saidi antara 2016 dan 2017.

Berita Harian X