Khamis, 26 Mei 2022 | 6:14pm
Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi hadir di Kompleks Mahkamah KL untuk menghadiri prosiding bela diri bagi 47 pertuduhan membabitkan pecah amanah, rasuah dan pengubahan wang haram berkaitan dana Yayasan Akalbudi. NSTP/SAIFULLIZAN TAMADI
Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi hadir di Kompleks Mahkamah KL untuk menghadiri prosiding bela diri bagi 47 pertuduhan membabitkan pecah amanah, rasuah dan pengubahan wang haram berkaitan dana Yayasan Akalbudi. NSTP/SAIFULLIZAN TAMADI

'Cek RM1 juta diserah ketika berjalan ke kereta'

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi memberitahu Mahkamah Tinggi, yang beliau tidak pernah meminta tiga keping cek yang kesemuanya berjumlah RM2 juta daripada pengarah syarikat pemprosesan visa, Profound Radiance Sdn Bhd atau mana-mana pihak lain.

Bekas Timbalan Perdana Menteri itu berkata, sebaliknya tujuan cek itu diberikan kepada Yayasan Akalbudi adalah bagi sumbangan politik dan amal jariah seperti tertera pada kaki cek berkenaan.

Katanya perkara itu turut disahkan Pengarah Profound Radiance, Azlan Shah Jaffril.

"Saya ingin menegaskan bahawa ia bukan rasuah atau upah bagi membolehkan syarikat Profound Radiance dilantik sebagai pengendali perkhidmatan pusat sehenti (OSC) di Pakistan dan Nepal. Ini adalah kerana pelantikan Profound Radiance bukan diluluskan oleh saya.

"Saya tidak dapat mengingati bila cek itu diserahkan kepada saya. Bagaimanapun mengikut keterangan Azlan Shah ketiga-tiga cek itu diserahkan kepada saya sebanyak tiga kali.

"Mengikut keterangan Azlan Shah, cek pertama berjumlah RM300,000 diletakkan atas meja pejabat saya. Cek kedua RM1 juta diserahkan ketika saya sedang berjalan menuju ke kereta selepas selesai majlis di pejabat Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan cek terakhir RM700,000 diserahkan di Seri Satria (kediaman rasmi Timbalan Perdana Menteri)," katanya.

Ahmad Zahid berkata demikian ketika membela diri terhadap 47 pertuduhan, iaitu 12 kes pecah amanah, lapan pertuduhan rasuah dan 27 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan berpuluh-puluh juta ringgit dana milik Yayasan Akalbudi.

Sementara itu, Ahmad Zahid berkata, proses penganugerahan projek kepada Profound Radiance dibuat mengikut prosedur yang ditetapkan dan Datuk Seri Najib Razak selaku Perdana Menteri ketika itu mengarahkan pelantikan Profound Radiance sebagai One Stop Centre (OSC) di Pakistan dan Nepal diluluskan.

Katanya, arahan Najib yang diminitkan kepadanya adalah supaya syarikat itu diberi peluang sekiranya tidak melakukan apa-apa kesalahan yang boleh menyebabkan mereka tidak layak untuk dianugerahkan dengan projek lain daripada KDN.

Sementara itu, Ahmad Zahid berkata, rakan kongsi firma guaman Tetuan Lewis & Co, B Muralidharan melakukan kesilapan serius dengan menyatakan dana yang dipegang amanah oleh firma guaman itu milik Yayasan Al-Falah (milik keluarga Ahmad Zahid) ketika memberikan keterangan di mahkamah.

Katanya, beliau amat terkejut dengan kesilapan yang dibuat Muralidharan yang juga saksi pendakwaan ke-87 kerana perkara itu tidak benar sama sekali.

"Saya menegaskan bahawa dana yang dipegang oleh Lewis & Co adalah milik Yayasan Akalbudi," katanya.

Ahmad Zahid berkata, selepas mendengar keterangan Muralidhran di mahkamah, beliau berbincang bersama peguamnya dan dinasihatkan untuk membuat laporan polis.

Perbicaraan di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Collin Lawrence Sequerah bersambung 27 Jun ini.

Berita Harian X