Rabu, 25 Mei 2022 | 5:56pm
Tangkap layar rakaman video yang tular berkenaan kejadian banjir yang didakwa berlaku di KL Sentral hari ini. - Foto ihsan polis
Tangkap layar rakaman video yang tular berkenaan kejadian banjir yang didakwa berlaku di KL Sentral hari ini. - Foto ihsan polis

KL Sentral tak banjir - Polis

KUALA LUMPUR: Tiada sebarang kejadian banjir dilaporkan berlaku di kawasan Stesen Kuala Lumpur Sentral (KL Sentral), Brickfields di sini, seperti yang ditularkan di media sosial menerusi satu rakaman video, hari ini.

Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Amihizam Abdul Shukor dalam satu kenyataan hari ini, memaklumkan rakaman video yang tular itu adalah banjir yang berlaku pada 25 April lalu.

Beliau berkata, pihaknya mengesan satu rakaman video tular di media sosial hari ini mengenai kejadian banjir di Brickfields dengan kapsyen 'KL Sentral Banjir 25 May 2022'.

"Perkara itu adalah tidak benar kerana keadaan di Stesen Sentral Kuala Lumpur serta jalan raya di sekitar kawasan itu pada hari ini berkeadaan baik dan selamat digunakan.

"Orang awam dinasihatkan untuk tidak berkongsi sebarang maklumat mahupun video yang tidak diketahui tahap kesahihannya," katanya.

Beliau turut mengalu-alukan orang awam yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan penyebaran rakaman video itu atau aktiviti jenayah lain supaya menyalurkannya kepada Ibu Pejabat Polis Daerah Brickfields dengan menghubungi talian 03-22979222.

Berita Harian X