Rabu, 25 Mei 2022 | 4:03pm
Foto hiasan. - BERNAMA
Foto hiasan. - BERNAMA

Pemilihan PKR: 13 cabang undi semula Sabtu, Ahad ini

KUALA LUMPUR: PKR menetapkan proses pengundian semula melibatkan 13 cabang di lima negeri akan dilaksanakan pada Jumaat dan Sabtu ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP), Dr Zaliha Mustafa, berkata undian semula secara fizikal Jumaat ini melibatkan cabang Tumpat, Ketereh, Bachok, Pengkalan Chepa, Gua Musang dan Tanah Merah di Kelantan.

Beliau berkata, undian pada Sabtu pula membabitkan cabang Dungun, Kuala Terengganu, Marang dan Kemaman di Terengganu, Padang Serai di Kedah, Hulu Selangor di Selangor dan Kota Kinabalu, Sabah.

"Cabang terlibat akan mengadakan pengundian semula selaras dengan Notis Penangguhan Pengundian terdahulu. Pusat-pusat pengundian akan dimaklumkan secepat mungkin," katanya menerusi notis makluman yang dimuat naik di Facebook rasmi Pemilihan PKR 2022, hari ini.

Sebelum ini JPP memaklumkan undian semula terpaksa dilakukan di 13 cabang berkenaan disebabkan beberapa masalah termasuk isu teknikal yang berlaku ketika pengundian fizikal.

Susulan itu tarikh keputusan tidak rasmi pemilihan peringkat MPP dan Cabang turut dipinda dan tarikhnya akan dipaparkan di laman sesawang Pemilihan Keadilan 2022 Ahad ini.

Tarikh pencalonan bagi pemilihan 20 Ahli Majlis Pimpinan Pusat (MPP), Majlis Pimpinan Angkatan Muda Keadilan (AMK) dan Majlis Pimpinan Wanita turut dipinda pada Ahad.

Berita Harian X