Rabu, 25 Mei 2022 | 12:45pm

Penularan HFMD dalam trend meningkat - Pakar

KOTA BHARU: Penularan penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD) kini dalam trend meningkat, dengan lazimnya menjangkiti kanak-kanak terutama yang berusia lima tahun ke bawah.

Pakar Mikrobiologi dan Parasitologi Perubatan, Pusat Pengajian Sains Perubatan, Universiti Sains Malaysia (USM), Prof Dr Zakuan Zainy Deris, berkata justeru pesakit perlu dikuarantin supaya virus terbabit tidak terus merebak.

Katanya, ini kerana kanak-kanak dijangkiti HFMD boleh menyebarkan virus berkenaan, sehinggalah ruam kering dalam tempoh kira-kira seminggu.

Beliau berkata, tempoh inkubasi bermula dari pendedahan kuman hingga mengalami gejala ialah antara tiga hingga lima hari, dengan penghidap HFMD berisiko menularkannya kepada kanak-kanak lain ketika bergejala.

"Gejala HFMD boleh berulang dan menjangkiti kanak-kanak sama jika ia membabitkan strain virus yang berbeza. Orang dewasa dan kanak-kanak lebih berumur juga boleh dijangkiti HFMD tetapi biasanya gejala tidak teruk," katanya dalam kenyataan, di sini.

Dr Zakuan berkata, gejala HFMD meliputi demam dan diikuti ruam berisi air (blister) atau melepuh pada tangan, kaki, mulut serta lidah.

"Apabila 'blister' pecah, kanak-kanak yang dijangkiti HFMD biasanya kurang selera makan dan minum disebabkan kesakitan yang dialami, sehingga menyebabkan kekurangan air dalam badan.

"Pada masa sama, penyakit ini juga boleh merebak melalui sentuhan. Apabila tangan pesakit yang mengalami 'blister' pecah (lelehan air) dan menyentuh kanak-kanak lain, maka virus boleh berpindah serta menjangkiti kanak-kanak lain," katanya.

Dr Zakuan yang juga Ketua Jabatan Mikrobiologi dan Parasitologi Perubatan berkata, penyakit HFMD boleh dikesan menerusi tanda seperti kulit melepuh pada tapak tangan, tapak kaki serta dalam mulut.

"Untuk mendiagnosis penyakit ini, letusan atau cecair 'blister' dalam mulut, pada tapak tangan ataupun kaki, atau air liur serta najis akan diambil dan dilakukan ujian 'Polymerase Chain Reaction' (PCR) bagi mengenal pasti kehadiran virus.

"Bagi pesakit yang mempunyai gejala ringan, rawatan diperlukan hanya berehat di rumah dan memastikan pengambilan air mencukupi. Paling penting, pesakit perlu dikuarantin supaya virus tidak merebak. Pesakit yang mengalami gejala teruk pula perlu dirawat di hospital," katanya.

Beliau berkata, ibu bapa atau penjaga dinasihat memastikan anak yang dijangkiti HFMD berehat di rumah sehinggalah gejala penyakit itu pulih sepenuhnya, kerana tiada vaksin khusus untuk mencegah HFMD buat masa ini.

Berita Harian X