Rabu, 25 Mei 2022 | 9:39am

PERKESO Pahang beri tempoh hingga 31 Mei kemas kini maklumat pekerja

KUANTAN: Semua majikan di Pahang diberi tempoh hingga 31 Mei ini untuk mengemas kini maklumat pekerja mereka kepada Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) bagi mengelak dikenakan tindakan.

Pengarah PERKESO negeri, Tarmizi Mukhtar, berkata ini berikutan pihaknya sedang melakukan pemutihan bagi mengesan majikan yang belum mendaftarkan pekerja masing-masing.

Sehubungan itu, beliau berkata, majikan yang gagal berbuat demikian akan berdepan tindakan, termasuk dikompaun, melalui Ops Kesan bermula 1 Jun depan.

"Pelaksanaan Ops Kesan bertujuan memastikan semua majikan dan pekerja mencarum, sekali gus melindungi mereka sekiranya berlaku kejadian tidak diingini.

"Majikan perlu mendaftar pekerja selaras Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969. Majikan pekerja warga asing pula tertakluk kepada Akta Sistem Insurans Pekerjaan 2017," katanya, di sini, hari ini.

Sementara itu mengulas faedah dibayar PERKESO Pahang bagi tempoh tiga bulan pertama tahun ini, Tarmizi berkata, sejumlah RM10.45 juta sudah dijelaskan kepada pencarum.

Beliau berkata, bayaran tertinggi membabitkan faedah hilang upaya sementara berjumlah RM5.37 juta, manakala faedah hilang upaya kekal RM3.73 juta.

"Selain itu, faedah pengurusan mayat (RM332,716), pencen ilat (RM325,313), bayaran ganti belanja (RM250,992), pencen penakat (RM163,875) dan faedah orang tanggungan (RM32,301).

"Berhubung tuntutan pencarum, PERKESO memberi jaminan bahawa proses dan kelulusan akan dilakukan dalam tempoh tiga hari selepas menerima laporan," katanya.

Berita Harian X