Isnin, 23 Mei 2022 | 11:45pm
 Gambar hiasan
Gambar hiasan

MAFI gerakkan pegawai ke negeri segerakan permohonan subsidi

KUALA LUMPUR: Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) mempermudahkan prosedur permohonan bagi mempercepatkan pembayaran subsidi kepada penternak ayam.

Menurut kenyataan dikeluarkan kementerian itu malam ini, tindakan juga sedang diambil dengan mobilisasi lebih ramai pegawai ke peringkat negeri bagi menyegerakan semakan permohonan.

"MAFI mengambil maklum semua isu dibangkitkan termasuk peningkatan kos pengeluaran ayam, masalah kenaikan berat badan ayam, jangkitan penyakit, keadaan cuaca, proses Kebenaran Merancang (KM) dan sebagainya yang antara lain menjejaskan operasi, seterusnya memberikan kesan kepada bekalan ayam.

"Isu berkaitan pemberian subsidi ayam melalui Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) kepada penternak juga dibincangkan.

"DVS akan terus mempermudah dan mempercepatkan proses tuntutan subsidi penternak ayam bagi merancakkan aktiviti pengeluar makanan ke arah meningkatkan pengeluaran domestik," kata kenyataan itu.

Katanya, kerajaan sudah menetapkan harga siling ayam standard pada harga RM8.90 per kilogram dengan pemberian subsidi sebanyak RM729.43 juta menerusi Skim Kawalan Harga Keluarga Malaysia (SKHKM) yang dilaksanakan sejak 5 Februari lalu.

Subsidi itu diberikan kerajaan untuk meringankan beban kos pengeluar ayam yang kian meningkat.

"Bagaimanapun, hanya RM50 juta subsidi dibayar setakat ini. Semua penternak yang memenuhi syarat diminta kemukakan permohonan supaya tuntutan dapat disalurkan dalam tempoh dijanjikan," katanya.

Mengenai libat urus antara Menteri MAFI, Datuk Seri De Ronald Kiandee bersama 12 pemain industri berkenaan, pihak industri menyatakan komitmen dan jaminan bahawa ladang mereka akan terus membekalkan ayam untuk keperluan pasaran tempatan.

MAFI akan terus mengadakan perjumpaan dan libat urus dengan pihak industri yang memainkan peranan penting serta terbabit langsung dalam rantaian pengeluaran bekalan ayam bagi memastikan kelangsungan pengeluaran kekal terjamin.

Pada masa sama, kerajaan juga tidak berkompromi, sebaliknya tindakan tegas akan diambil ke atas mana-mana pihak yang menyorok, menyimpan atau sabotaj terhadap bekalan ayam di pasaran yang dapat menjejaskan kehidupan rakyat.

"MAFI sentiasa memandang serius sebarang perkara mengancam sekuriti makanan negara dan akan terus mengambil tindakan sewajarnya bagi memastikan bekalan makanan negara terus kekal terjamin demi kesejahteraan Keluarga Malaysia," katanya.

Berita Harian X