Isnin, 23 Mei 2022 | 7:16pm
Prof Dr Haim Hilman Abdullah
Prof Dr Haim Hilman Abdullah

GLC wajar taja kursi berkaitan bahasa Melayu

KUALA LUMPUR: Syarikat berkaitan kerajaan (GLC) perlu memainkan peranan dalam mendukung dan memperjuangkan kecemerlangan bahasa Melayu di peringkat antarabangsa.

Naib Canselor Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof Dr Haim Hilman Abdullah berkata terdapat ratusan GLC yang tersenarai di Bursa Malaysia namun peranan dalam agenda memartabatkan bahasa Melayu dilihat masih kurang.

"Kita ada banyak GLC, kenapa tidak kita membangunkan kursi berkaitan bahasa Melayu dan mewajibkan semua GLC ini menaja dan menempatkannya di universiti terpilih di luar negara yang mungkin boleh dijadikan sebagai asas untuk kita melihat bahasa Melayu ini diangkat di peringkat strategik serta dijadikan platform menunjangi kebangkitan dan kecemerlangan bahasa kita.

"Namun, kita melihat hari ini, GLC bukan sahaja kurang mengangkat agenda bahasa Melayu tetapi pada masa sama masih kurang peranan GLC untuk bersama menaja kursi ini yang boleh mendukung kecemerlangan pendidikan negara," katanya.

Beliau berkata demikian ketika membentangkan kertas kerja bertajuk 'Isu dan cabaran bahasa Melayu abad ke-21: Strategi UUM' pada Simposium Pengantarabangsaan Bahasa Melayu sebagai Bahasa ASEAN dan Antarabangsa, di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) di sini, hari ini.

Hail Hilman berkata, peranan GLC itu perlu dimasukkan dalam resolusi sebagai pendekatan untuk syarikat berkenaan mendukung perkembangan agenda bahasa Melayu dan pendidikan negara.

Selain itu, beliau mencadangkan supaya indikator diwujudkan bagi menilai sejauh mana keberkesanan inisiatif dalam memartabatkan bahasa Melayu.

"Apa indikatornya? Adakah memadai dengan buku sahaja, dasar-dasar atau sekadar jurnal yang diindeks.

"Saya bukan orang bahasa tetapi memiliki harapan di mana kita boleh duduk bersama dan melihat bagaimana satu kerangka yang dikatakan prestasi bahasa Melayu perlu dilihat," katanya.

Sementara itu, Ketua Setiausaha Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA), Datuk Seri Ir Dr Zaini Ujang, mencadangkan penggunaan sastera bahasa Melayu merentasi sempadan ilmu dan amalan profesional.

Katanya, sastera Melayu boleh digunakan meningkatkan kesedaran dan pengetahuan di semua peringkat termasuk melestarikan alam sekitar.

"Perkembangan bahasa Melayu tidak seharusnya terhad kepada domain organisasi sebaliknya dikembangkan dalam domain peribadi.

"Ini khususnya dalam pembentukan tabiat dan tingkah laku yang akhirnya membentuk budaya yang tersemat dalam darah daging kita," katanya.

Berita Harian X