Isnin, 23 Mei 2022 | 5:21pm
Prof Datuk Dr Ahmad Murad Merican. NSTP/SAIFULLIZAN TAMADI
Prof Datuk Dr Ahmad Murad Merican. NSTP/SAIFULLIZAN TAMADI

Jenamakan semula bahasa Melayu, wujudkan tribunal

KUALA LUMPUR: Kerajaan dan institusi awam perlu melakukan inisiatif penjenamaan semula melalui tindakan atau usaha bagi mengubah secara keseluruhan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan menjadi lebih baik sambil mengekalkannya untuk pembinaan negara.

Profesor sejarah sosial dan intelektual, institut pemikiran dan tamadun Islam Universiti Islam Antarabangsa (UIAM), Prof Datuk Dr Ahmad Murad Merican, berkata beberapa faktor dalaman dan luaran perlu dipertimbangkan dengan mengambil kira semua aspek termasuk warganegaera yang menggunakannya, institusi pendidikan, organisasi, persekitaran serta alam bina.

"Proses terbabit perlu mengambil kira institusi dan saluran media, maklumat serta pendidikan bagi tujuan melaksanakan penjenamaan itu, penerima warganegara selain percambahan maksud perubahan yang dilakukan.

"Meskipun Malaysia merdeka hampir 65 tahun, imej bahasa Melayu di negara ini tidak menggalakkan seperti bahasa Mandarin di sekolah persendirian Cina, isu kegunaan bahasa Melayu di sekolah kebangsaan, percambahan sekolah antarabangsa dan penguncupan media Melayu," katanya.

Beliau berkata demikian ketika membentangkan kertas kerja pada Simposium Pengantarabangsaaan Bahasa Melayu sebagai Bahasa ASEAN dan Antarabangsa, di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), di sini, hari ini.

Ahmad Murad berkata, banyak faktor lain mempengaruhinya termasuk penggunaan iklan bahasa Melayu yang tidak optimum, universiti awam mengabaikan bahasa Melayu, universiti swasta menggunakan bahasa Inggeris serta nama jalan ditukar kepada bahasa penjajah.

"Jadi perlu diwujudkan satu tribunal bahasa kebangsaan berperanan membawa fungsi separa kehakiman dari segi menyedia dan memudahkan proses hukum serta timbang tara.

"Melaluinya, ruang lingkup operasinya adalah individu, organisasi dan institusi," katanya

Pada sidang sama, pensyarah Universiti Sultan Zainal Abidin (UNISZA), Prof Dr Ridhuan Tee Abdullah, berkata dalam membina negara terutama dalam mendaulatkan bahasa Melayu, langkah terbabit perlu dilakukan segera walaupun pada asasnya ia sudah terlambat.

"Justeru kerajaan perlu menggunakan peruntukan kuasa yang ada dan termaktub dalam Perlembagaan untuk melaksanakannya.

"Seharusnya tiada kompromi dalam melaksanakan agenda pembinaan negara. 'Pembinaan negara dalam negara' yang digerakkan kumpulan tertentu, perlu diambil tindakan sebelum terlambat. Jika tidak, kita akan terus gagal dan gagal, meskipun sudah merdeka 65 tahun," katanya.

Katanya, empat kunci utama keramat dalam pembinaan negara adalah identiti (jatidiri), kuasa, perpaduan dan kestabilan yang seharusnya diperhalusi dari peringkat tinggi hinggalah serendah-rendahnya.

Dalam perkembangan berkaitan peranan pondok, madrasah dan jemaah Islam dalam memelihara bahasa Melayu di wilayah sempadan selatan Thai, pensyarah dari sebuah universiti di Thailand, Prof Madya Dr Ibrahem Narongraksakhet berpendapat, bahasa Melayu adalah satu simbol bagi tamadun Melayu.

"Pondok, madrasah dan institusi pengajian tinggi bukan saja memainkan peranan penting mengajar pengetahuan agama tetapi institusi itu berperanan memelihara bahasa Melayu.

"Keupayaan penduduk Pattani membaca dan berkomunikasi dalam bahasa Melayu adalah hasil peranan pondok, madrasah dan institusi pengajian tinggi memartabatkan bahasa terbabit.

"Selain bahasa Melayu, tulisan Jawi juga lambang dan simbol utama dalam menggambarkan tamadun Pattani," katanya.

Berita Harian X