Isnin, 23 Mei 2022 | 2:58pm
Sebuah rumah teres dua tingkat yang masih dalam peringkat pengubahsuaian runtuh dalam satu kejadian pergerakan tembok penahan di Jalan Selangat, Taman Pertama hari ini. Enam rumah berdekatan diarah untuk dikosongkan atas faktor keselamatan. - Foto BERNAMA
Sebuah rumah teres dua tingkat yang masih dalam peringkat pengubahsuaian runtuh dalam satu kejadian pergerakan tembok penahan di Jalan Selangat, Taman Pertama hari ini. Enam rumah berdekatan diarah untuk dikosongkan atas faktor keselamatan. - Foto BERNAMA

IKRAM dilantik kaji punca pergerakan tembok penahan di Cheras

KUALA LUMPUR: Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) melantik Institut Kerja Raya Malaysia (IKRAM) sebagai perunding bebas bagi mencari dan mengenal pasti punca sebenar kejadian pergerakan tembok penahan (CBP Wall) di tapak projek pembinaan sebuah blok pangsapuri perkhidmatan di Jalan Selangat, Cheras, di sini, awal pagi semalam.

Datuk Bandar Kuala Lumpur Datuk Seri Mahadi Che Ngah berkata buat masa ini, DBKL telah mengeluarkan Notis Berhenti Kerja serta-merta kepada pemaju dan hanya kerja-kerja membaik pulih sahaja dibenarkan sehingga keadaan tapak kembali selamat.

"Kita dapati hampir satu meter daripada keseluruhan penahan tembok sedia ada telah bergerak dan dianggarkan lebih 2,000 kubik meter tanah dibawa ke tapak untuk menstabilkan keadaan itu.

"Oleh itu, pemaju diarahkan untuk menjalankan kerja-kerja pengukuhan tembok penahan dengan kaedah penyediaan tambakan tanah dan blok konkrit bagi tujuan pengukuhan, dengan serta-merta," katanya dalam sidang media berkenaan kejadian tersebut di sini, hari ini.

Mahadi berkata IKRAM juga akan melakukan pemantauan ke atas kerja-kerja pengukuhan tembok termasuk menyemak semula reka bentuk penahan yang disediakan juru perunding pemaju bagi keseluruhan pembangunan tersebut.

"Pemaju dikehendaki mengarahkan juru perundingnya untuk menyemak semula reka bentuk tembok penahan di keseluruhan tapak pembangunan selain diminta mengemukakan cadangan penyelesaian kekal bagi mengatasi isu di tapak pembangunan," katanya.

Sebuah rumah teres dua tingkat yang masih dalam peringkat pengubahsuaian runtuh dalam satu kejadian pergerakan tembok penahan di Jalan Selangat, Taman Pertama hari ini. - Foto BERNAMA
Sebuah rumah teres dua tingkat yang masih dalam peringkat pengubahsuaian runtuh dalam satu kejadian pergerakan tembok penahan di Jalan Selangat, Taman Pertama hari ini. - Foto BERNAMA

Pada masa sama, katanya, DBKL melalui Jabatan Perancangan Infrastruktur dan Jabatan Penguatkuasaan akan melaksanakan pemantauan setiap hari sehingga keadaan di tapak kembali selamat.

"Semua penghuni yang terlibat telah berpindah ke hotel berdekatan dan kos penginapan ditanggung kontraktor," katanya.

Seorang mangsa yang terlibat yang hanya ingin dikenali sebagai Robin Loh, 85, bersyukur terselamat daripada bencana itu yang telah menyebabkan rumah teres dua tingkat miliknya runtuh.

"Kami (saya dan keluarga) tinggal di satu lagi rumah di jalan sama (sebelum kejadian) kerana rumah (yang runtuh) masih diubah suai. Awal pagi itu saya keluar (dari rumah) jiran saya menjerit, barulah saya tahu (mengenai kejadian yang berlaku). Pada tengah malam air mula melimpah kemudian kira-kira pukul 2 pagi rumah mulai runtuh," katanya.

Seorang lagi penduduk yang terjejas, Khoo Muy Peng, 64, mengakui sudah pun menyuarakan kebimbangannya mengenai perkara itu kepada pihak pemaju sejak 2019, namun tidak diendahkan.

"Mereka hanya datang dan tidak buat apa-apa, sekarang ia lebih serius. Mereka kata saya tidak boleh tinggal di rumah ini, mereka juga arahkan untuk cari tempat tinggal. Sukar untuk cari tempat mereka juga tidak aturkan untuk penduduk walaupun mereka perlu membayar (sewa)," katanya.

Dalam kejadian awal pagi semalam, sebuah rumah teres dua tingkat yang masih dalam peringkat pengubahsuaian runtuh manakala enam lagi rumah berdekatan diarahkan Jabatan Bomba dan Penyelamat untuk dikosongkan atas faktor keselamatan. – BERNAMA

Berita Harian X