Isnin, 23 Mei 2022 | 11:56am
Sarawak tidak menghadapi masalah bekalan ayam berikutan pengeluaran sara diri untuk negeri ini sudah melebihi 100 peratus. - Foto hiasan BERNAMA
Sarawak tidak menghadapi masalah bekalan ayam berikutan pengeluaran sara diri untuk negeri ini sudah melebihi 100 peratus. - Foto hiasan BERNAMA

Pengeluaran ayam Sarawak lebih daripada cukup

KUCHING: Sarawak tidak menghadapi masalah bekalan ayam berikutan pengeluaran sara diri untuk negeri ini sudah melebihi 100 peratus.

Justeru, Timbalan Menteri Pemodenan Pertanian dan Pembangunan Wilayah, Datuk Dr Abdul Rahman Ismail berkata, kerajaan Sarawak kini berusaha membantu penternak untuk terus mengembangkan lagi industri penternakan ayam.

"Usaha itu bagi membolehkan kita mengeksport ayam pula," katanya menjawab soalan Dayang Noorazah Awang Sohor (GPS-Lingga) pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, hari ini.

Dalam sesi soal jawab itu, Noorazah bertanya mengenai perancangan untuk memperluaskan industri penternakan ayam, lembu dan kambing secara komersil untuk keperluan tempatan.

Bagaimanapun Dr Abdul Rahman berkata, pengeluaran daging lembu dan kambing tempatan pula masih berada di tahap rendah dengan lembu hanya 12 peratus manakala kambing pula 5.5 peratus.

"Sehubungan itu, kerajaan Sarawak akan memfokuskan kepada pembabitan sektor swasta dalam pembangunan industri ternakan ruminan iaitu lembu, kambing dan kerbau.

"Untuk tujuan itu, Jabatan Perkhidmatan Veterinar Sarawak mengambil inisiatif kerjasama awam swasta (PPP) untuk menswastakan stesen ternakan.

"Hingga kini, dua stesen ternakan diswastakan iaitu Stesen Ternakan Temudok di Sei Aman bagi pengeluaran baka kambing berkualiti.

"Stesen Ternakan Karabungan di Miri pula khusus bagi pengeluaran baka lembu berkualiti," katanya.

Menurutnya lagi, Kementerian Pemodenan Pertanian dan Pembangunan Wilayah Sarawak kini merancang untuk menswastakan Stesen TernakanMeragang di Lawas bagi pengeluaran baka lembu berkualiti.

Berita Harian X