Isnin, 23 Mei 2022 | 12:27am
Pindaan akta membolehkan DBP mempunyai kuasa lebih besar jika ada kesalahan bahasa seperti pada papan tanda. - Gambar hiasan NSTP/MUHAMMAD ZULSYAMINI SUFIAN SURI
Pindaan akta membolehkan DBP mempunyai kuasa lebih besar jika ada kesalahan bahasa seperti pada papan tanda. - Gambar hiasan NSTP/MUHAMMAD ZULSYAMINI SUFIAN SURI

DBP diberi kuasa

KUALA LUMPUR: Pindaan Akta Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) 1959 yang sedang diusahakan ketika ini, akan mengubah status DBP menjadi pihak berkuasa bahasa, sekali gus memastikan badan itu bertaring untuk bertindak terhadap kesalahan atau pengabaian bahasa Melayu.

Ketua Pengarah DBP, Datuk Abang Sallehuddin Abg Shokeran, berkata pindaan yang akan dicadangkan kepada kerajaan itu, akan memastikan teguran DBP mengenai isu bahasa perlu dipatuhi pihak yang membuat kesalahan.

Katanya, perkara itu berbeza dengan situasi semasa, iaitu DBP hanya boleh bergerak sebagai 'badan dakwah bahasa', dan teguran diberikan tidak wajib dipatuhi pihak yang melakukan kesalahan.

"Fungsi DBP selama ini lebih kepada kegiatan 'dakwah' bahasa. Ia tiada kuasa untuk menguatkuasakan peraturan tentang bahasa kebangsaan. Dalam Akta DBP, kita boleh memberi teguran dan nasihat, tapi ia tidak wajib untuk dipatuhi.

"Selaras hasrat Perdana Menteri, kita sedang mengusahakan pindaan Akta DBP bagi menjadikan DBP sebagai badan berkuasa bahasa, sekali boleh menguatkuasakan peraturan berkaitan bahasa kebangsaan, selain meneruskan fungsi asalnya iaitu membina dan mengembangkan bahasa kebangsaan.

"Ertinya, jika diluluskan dengan persetujuan Kabinet dan Parlimen, teguran yang dibuat oleh DBP mengenai kesalahan bahasa Melayu wajib atau perlu dipatuhi," katanya dalam Forum Dunia Melayu Dunia Islam (DMDI): Memartabatkan Bahasa Melayu di Rantau ASEAN di sini, hari ini.

Pengerusi Majlis Penasihat Warisan Peradaban Melayu Lembaga Bahasa Melayu, Tan Sri Prof Dr Abdul Latiff Abu Bakar ialah moderator.

Antara penel ialah pakar bahasa dan kesusasteraan Universitas Maritim Raja Ali Haji, Indonesia, Prof Madya Dr H Abdul Malik; pakar sains politik National University of Singapore, Prof Dr Hussin Mutalib; wakil DMDI Thailand, Dr Kumajdi Yamirudeng; serta Dekan Fakulti Ilmu Sosial dan Politik Universitas Muhammadiyah Malang, Prof Dr Muslimin Machmud.

Selain itu, menteri kanan Kemboja, Datuk Oknha Othsman Hassan turut tampil menyampaikan ucapan secara maya.

Mengulas lanjut, Abang Shokeran memaklumkan, pihaknya akan turut mencadangkan pindaan Akta Bahasa Kebangsaan 1963/67 bagi menyokong pindaan Akta DBP 1959.

"Tapi pindaan ini tidak semudah disangka kerana banyak perkara perlu dilihat. Antaranya penggunaan bahasa kebangsaan di tempat awam seperti nama tempat. Contohnya Bangi Gateway, atau sebelum ini Bangsar South," katanya.

Sementara itu, Abdul Malik menjelaskan tiada keperluan untuk membezakan di antara bahasa Melayu di Malaysia serta bahasa Indonesia dalam usaha menjadikan bahasa itu sebagai bahasa ASEAN dan bahasa dunia.

Tegasnya, meskipun istilah digunakan ialah bahasa Indonesia, hakikatnya itu bahasa Melayu yang sama digunakan seperti Malaysia.

"Indonesia memperkenalkan penggunaan bahasa Indonesia selepas Sumpah Pemuda pada 28 Oktober 1928, dengan bahasa digunakan diberi nama bahasa Indonesia secara politik, namun secara kebudayaan, semua tahu bahawa itu adalah bahasa Melayu.

"Apa pun kata orang, secara ilmiah dan budaya, bahasa Indonesia itu ialah bahasa Melayu dan tidak perlu dibezakan," katanya.

Katanya, antara kelebihan Indonesia dalam usaha memartabatkan bahasa Melayu di peringkat serantau dan antarabangsa, ialah hampir semua 278 juta rakyat negara itu boleh bertutur bahasa Indonesia.

"Kelebihan Indonesia ialah konsisten. Sejak empayar Srivijaya, tiada seorang pun rakyat Indonesia yang tidak tahu berbahasa Melayu, walaupun Indonesia memiliki lebih 700 bahasa," katanya.

Sementara itu, Hussin memaklumkan, Singapura berdepan beberapa cabaran besar yang bakal menentukan kelangsungan penggunaan bahasa Melayu di republik itu pada masa depan.

Meskipun bahasa Melayu masih bertahan di Singapura ketika ini, beliau melihat penggunaan bahasa Inggeris akan terus meluas kerana faktor kosmopolitan terbuka dan kesejagatan di negara itu.

"Selain itu, walaupun kebanyakan kelas agama menggunakan bahasa Melayu, sejak kebelakangan ini, khutbah Jumaat sudah mula diselang seli dengan bahasa Inggeris, atas desakan belia berpendidikan sekular dan Inggeris.

"Selain itu, potensi satu-satunya akhbar Bahasa Melayu dan penerbitan bahasa ini semakin menurun dan jika berterusan, bahasa Melayu di Singapura terpkasa menghadapi realiti baharu," katanya.

Berita Harian X