KUALA LUMPUR: Bahasa Melayu akan terus terpinggir jika tiada usaha serius mengangkatnya sebagai bahasa rasmi dalam urusan ekonomi dan perniagaan.
Dalam masa sama, usaha memartabatkan bahasa Melayu perlu dibuat melalui pindaan dan perluasan akta yang berkaitan dengan sektor berkenaan.
Dekan UKM-Graduate School of Business, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Dr Zafir Khan Mohamed Makhbul, berkata satu tindakan yang mesti dilaksanakan ialah meminda beberapa akta penting.
"Pindaan dan perluasan termasuk Akta Pertubuhan, Akta Pendaftaran Perniagaan, Akta Syarikat, Akta Cap Dagang, Akta Industri Pelancongan dan beberapa yang lain perlu disegerakan.
"Selain itu, akta yang sedia ada seperti Akta Komunikasi dan Penyiaran dan Undang-Undang Kecil Pengiklanan mestilah dikuatkuasakan pelaksanaannya secara tegas," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada sidang keempat Simposium Pengantarabangsaan Bahasa Melayu bertajuk 'Bahasa Melayu dan Ekonomi' di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), di sini, hari ini.
Tiga panel lain yang turut membincangkan isu sama ialah pakar ekonomi, Prof Emeritus Dr Barjoyai Bardai dan dua lagi pakar masing-masing dari China dan Singapura, iaitu Dr Tan Xiao dan Yatiman Yusof.
Zafir Khan berkata, selain itu, usaha meningkatkan program pembangunan dan latihan dalam organisasi berkaitan ekonomi serta perniagaan mengenai pentingnya penggunaan bahasa Melayu juga perlu digerakkan.
Beliau berkata, perkembangan globalisasi meninggalkan kesan mendalam kepada bahasa Melayu.
"Fenomena ini mengukuhkan penggunaan bahasa Inggeris dalam urusan ekonomi dan perniagaan.
"Keperluan menguasai bahasa Inggeris semakin mendesak dalam setiap organisasi tetapi pada masa sama bahasa ibunda tetap perlu dimartabatkan," katanya yang menekankan keperluan untuk masyarakat dan pemimpin menjalankan usaha secara bersama, bagi mengembalikan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu.
Sementara itu, Barjoyai berkata, antara cabaran utama memartabatkan semula bahasa Melayu ialah mengembalikan kepercayaan dan keyakinan untuk memajukan bahasa Melayu sebagai 'lingua franca'.
"Ini memerlukan usaha berterusan, sebagai contoh, bagi golongan peniaga. Boleh mula gunakan jenama dengan mengetengahkan istilah bahasa Melayu. Sebagaimana penggunaan jenama kereta seperti Persona dan Wira," katanya.
Selain itu, beliau berkata, wujud keperluan untuk mengatasi isu semantik membabitkan negara jiran seperti Indonesia.
"Misalnya bila diumumkan kita hendak mengantarabangsakan bahasa Melayu, rakan kita di Indonesia kata mengapa hendak menggunakan bahasa Melayu, yang hanya dituturkan 32 juta penduduk, sedangkan bahasa Indonesia dituturkan lebih 200 juta orang.
"Ini antara isu semantik yang berlegar kerana kita anggap Melayu ini berkait dengan Tanah Melayu, orang Melayu. Sedangkan hakikatnya orang Melayu adalah penduduk di kepulauan Melayu dan bahasa Melayu bukan hakmutlak milik Tanah Melayu," katanya.
Beliau berkata, dalam hal ini, perkara yang paling penting ialah meraikan kesamaan, berbanding hanya melihat perbezaan daripada sudut bahasa.
"Mengapa kita tidak panggil bahasa Melayu dengan nama bahasa Melayu Indonesia, bahasa Melayu Kemboja dan bahasa Melayu Malaysia sebagaimana Inggeris sudah memulakan pendekatan sama.
"Hari ini, orang Amerika Syarikat menggelarkan bahasa mereka dengan 'American English', 'British English' atau African English. Kita semua menggunakan bahasa Melayu tetapi bahasa Melayu yang agak berbeza di setiap negara. "Di sini perlu kepada kesamaan, jika kita gabungkan bahasa, dalam masa sama, tradisi dan budaya dan ketamadunan akan turut bersatu," katanya.