Ahad, 22 Mei 2022 | 6:22pm
Gambar hiasan
Gambar hiasan

Sediakan pekerjaan elak bekas penagih kembali menagih - Lam Thye

KUALA LUMPUR: Kerajaan perlu segera menangani masalah dihadapi penagih dadah yang tidak mendapat tempat dalam masyarakat seterusnya mendorong mereka kembali menagih semula.

Pengerusi Ikatan Komuniti Selamat, Tan Sri Lee Lam Thye, berkata lebih 5,000 penagih yang selesai rawatan di Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) kembali menagih pada tahun lalu, adalah jumlah yang besar dan memberi kesan mendalam dalam masyarakat.

Katanya, usaha memulihkan penagih yang terperangkap dengan najis dadah ini bukanlah satu perkara yang mudah namun ia perlu giat diteruskan bagi mengelakkan lebih ramai penagih kembali ke menagih walaupun mereka sudah dirawat.

"Kerajaan melalui agensi berkaitan boleh mengambil pendekatan menyerap golongan itu ke dalam sektor dengan dengan jawatan yang sesuai.

"Dengan langkah ini, golongan bekas penagih tidak akan rasa tersisih dan terus membuka peluang kepada merak untuk berdikari serta kembali menjalani kehidupan normal," katanya.

Dianggarkan seramai 5,877 penagih yang selesai rawatan di AADK kembali menagih pada tahun lepas.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin, berkata jumlah itu adalah daripada 15,000 penagih yang selesai menjalani proses merawat pulih masalah penagihan.

Mengulas lanjut, Lam Thye antara faktor yang dapat dikenal pasti golongan itu kembali menagih adalah kerana tidak mendapat peluang secukupnya untuk kembali diterima semula dalam masyarakat.

"Masyarakat masih memberi pandangan negatif kepada golongan ini kepada setiap perkara mereka lakukan.

"Mereka masih dipandang serong. Bukan itu sahaja, bekas penagih juga sukar mendapat peluang pekerjaan.

"Ini menjejaskan kehidupan bekas penagih dadah yang ingin memulakan semula kehidupan mereka," katanya.

Beliau juga berkata, kesempitan hidup mendedahkan golongan itu kembali mencari jalan mengeluarkan diri daripada masalah dengan mengambil semula bahan memudaratkan diri seperti dadah.

Berita Harian X