Ahad, 22 Mei 2022 | 5:39pm
Bekas Ketua Hakim Negara, Tun Abdul Hamid Mohamad.
Bekas Ketua Hakim Negara, Tun Abdul Hamid Mohamad.

Kekuatan, kemahuan politik penentu nasib bahasa Melayu - Tun Hamid

KUALA LUMPUR: Kedudukan bahasa Melayu terletak pada kekuatan dan kemahuan politik Melayu, kata bekas Ketua Hakim Negara, Tun Abdul Hamid Mohamad.

Beliau berkata, parti politik etnik itu perlu bergabung bagi membentuk kerajaan pro-bahasa Melayu yang kukuh berikutan pengukuhan bahasa itu melalui undang-undang hanya boleh dilakukan dalam negara dan dalam lingkungan yang ditetapkan Perlembagaan Persekutuan.

"Apa yang dibuat terletak kepada kekuatan politik kerajaan pro-bahasa Melayu dan kemahuan politik pemimpinnya, manakala penggunaan bahasa Melayu di mahkamah di Sabah dan Sarawak perlu dipertingkatkan.

"Selain itu, calon hakim di seluruh Malaysia seharusnya boleh menulis alasan penghakiman dalam bahasa Melayu dengan baik," katanya ketika membentang kertas kerja secara maya pada sidang bertajuk 'Bahasa Melayu dan pengukuhan melalui undang-undang'.

Kerja kerja itu dibentangkan pada Simposium Pengantarabangsaan Bahasa Melayu sebagai Bahasa ASEAN dan Antarabangsa di Wisma Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) yang dihoskan Prof Madya Dr Muhammad Fathi Yusof.

Tiga pembentang lain ialah Penyandang Kursi Institusi Raja-Raja Melayu, Universiti Teknologi Mara (UiTM), Prof Datuk Dr Shamrahayu Ab Aziz; Pensyarah Kanan Fakulti Pengurusan Industri Universiti Malaysia Pahang (UMP), Datuk Prof Madya Dr Wan Ahmad Fauzi Wan Husain dan Prof Awang Asbol Mail dari Brunei.

Abdul Hamid berkata, cadangan menggunakan bahasa Melayu sepenuhnya di mahkamah bagaimanapun tidak begitu realistik, terutama di Mahkamah Tinggi, Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan.

"Ia juga bercanggah dengan usaha untuk menjadikan Malaysia hab perbankan dan kewangan Islam di dunia dan pusat penimbangtara yang ulung di rantau ini. Pada masa sama, pengukuhan bahasa Melayu diharapkan tidak melemahkan penguasaan bahasa Inggeris kalangan graduan Melayu," katanya.

Katanya, graduan yang lemah bahasa Inggeris tidak dapat bersaing dengan graduan bukan Melayu untuk merebut pekerjaan.

"Kita juga memerlukan pemimpin politik Melayu, hakim, pegawai, ahli korporat dan ahli akademik yang mempunyai penguasaan bahasa Melayu yang baik. Di peringkat antarabangsa, perdana menteri, menteri, hakim, pegawai tinggi dan ahli akademik perlu menguasai bahasa Inggeris yang baik," katanya.

Sementara itu, Wan Ahmad Fauzi berkata, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob telah menyatakan komitmen untuk meminda Akta Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) sebagai langkah memartabatkan bahasa Melayu.

"Pindaan yang dihasratkan Perdana Menteri itu untuk memberi kuasa penguatkuasaan kepada DBP terhadap kesalahan bahasa.

"Sejajar saranan beliau, pindaan ke atas Akta DBP perlu dilaksanakan untuk meletakkan kedudukannya sebagai pihak berkuasa bahasa Melayu utama selepas Yang di-Pertuan Agong," katanya.

Berita Harian X