KUALA LUMPUR: Bahasa Melayu dapat diperkukuhkan jika dokumen rasmi tidak lagi dibenar diterjemahkan ke dalam bahasa lain.
Itu antara lima syor dikemukakan Penyandang Kursi Institusi Raja-Raja Melayu, Universiti Teknologi Mara (UiTM), Prof Datuk Dr Shamrahayu Ab Aziz bagi membuktikan kesungguhan kerajaan memartabatkan bahasa Melayu.
"Kerajaan juga perlu mengkaji semula penggunaan bahasa selain bahasa kebangsaan dalam institusi pendidikan. Penggunaan bahasa Melayu itu perlu diterapkan di tadika, sekolah rendah dan menengah serta institusi pengajian tinggi kecuali sesetengah kursus yang perlu diperinci.
"Seterusnya, kerajaan perlu serius membuat terjemahan Perlembagaan Persekutuan ke dalam bahasa Melayu, perlu diusahakan secara bersungguh-sungguh," katanya ketika membentangkan kertas kerja bertajuk 'Bahasa Melayu dan Pengukuhan Melalui Undang-Undang'.
Kerja kerja itu dibentangkan pada Simposium Pengantarabangsaan Bahasa Melayu sebagai Bahasa ASEAN dan Antarabangsa di Wisma Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), di sini hari ini.
Tiga pembentang lain, Pengarah Institut Tamadun dan Kajian Strategik (ITKAS), Universiti Malaysia Pahang (UMP), Prof Madya Datuk Dr Wan Ahmad Fauzi Wan Husain; bekas Ketua Hakim Negara, Tun Abdul Hamid Mohamad dan Prof Awang Asbol Mail dari Brunei.
Syor keempat, mempertingkatkan penggunaan bahasa Melayu atau menjadikannya bahasa rasmi dalam prosiding mahkamah dan hakim wajib menulis penghakiman dalam bahasa itu dan kelima, mempertingkat penggunaan bahasa Melayu dalam prosiding Parlimen dan tulisan jawi dalam urusan rasmi institusi Islam.
Shamrahayu berkata, walaupun penggunaan bahasa Melayu itu penting, kerangka perundangan negara tidak melupakan kepentingan bahasa lain, sama ada bahasa ibunda komuniti utama negara atau bahasa Inggeris kerana kepentingan identiti komuniti warga Malaysia tetap dijamin oleh Perlembagaan.
"Kepentingan bahasa Inggeris juga tidak diabaikan kerana ia adalah bahasa yang digunakan oleh majoriti masyarakat dunia dan bahasa Inggeris juga adalah bahasa ilmu, sains dan teknologi serta bahasa dalam ekonomi," katanya.
Beliau menegaskan, penguasaan Bahasa Melayu yang baik dalam kalangan rakyat Malaysia adalah perkara penting kerana ia sudah diangkat sebagai bahasa rasmi negara sejak lebih 60 tahun, sekali gus memerlukan rakyat perlu memikul tanggungjawab memartabatkannya.
Katanya, bahasa Melayu sudah dimasyhurkan dalam Perlembagaan Persekutuan sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi bagi Malaysia dan ia diperjelaskan lagi dengan peruntukan undang-undang berkaitan seperti Akta Pendidikan, Akta Bahasa Kebangsaan dan Akta Dewan Bahasa dan Pustaka.
"Bagaimanapun, kedudukan bahasa Melayu ada kala dilihat belum mencapai tahap paling baik. Ada undang-undang masih lagi membenarkan penggunaan bahasa lain dalam urusan negara, bahkan Perlembagaan Persekutuan dalam bahasa Inggeris masih lagi menjadi rujukan utama," katanya.
Tegasnya, dalam Perlembagaan Persekutuan, sudah termaktub berkenaan jaminan kedudukan bahasa Melayu, iaitu Perkara 152 dengan Fasal (1) menjelaskan kedudukannya sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi.
"Melalui peruntukan ini juga, masyarakat Malaysia dijamin kebebasan pembelajaran dan penggunaan bahasa lain selain bahasa Melayu, kecuali dalam tujuan rasmi. Dengan kata lain, dalam apa juga urusan rasmi, bahasa Melayu adalah bahasa yang hendaklah digunakan.
"Walaupun tiada peruntukan Perlembagaan menjelaskan tentang maksud bahasa kebangsaan, ia dapat diertikan bahasa kebangsaan ialah bahasa yang digunakan oleh masyarakat terbanyak yang menjadi asas kepada kesatuan politik.
"Bahasa kebangsaan juga boleh dikatakan sebagai bahasa kemasyarakatan dan bahasa kebudayaan. Justeru, bahasa kebangsaan ialah bahasa yang menjadi identiti negara," katanya.