Ahad, 22 Mei 2022 | 1:21pm
Prof Emeritus Datuk Dr Asmah Omar
Prof Emeritus Datuk Dr Asmah Omar

Sejarah bahasa Melayu akan lenyap jika diganti nama lain

KUALA LUMPUR: "Jika bahasa Melayu digantikan dengan nama lain, maka akan tenggelamlah nama asal dan sejarahnya."

Penegasan mengenai kepentingan mengekalkan nama bahasa Melayu itu diutarakan pakar nahu bahasa Melayu, Prof Emeritus Datuk Dr Asmah Omar yang menjelaskan kewajaran supaya tidak digantikan dengan nama lain, hatta dinamakan sebagai bahasa Malaysia.

Katanya, nama bahasa penting kerana di situlah terletak sejarahnya, iaitu suku etnik, tempat tumbuhnya sesuatu bahasa dan 'lama-waktu' penggunaannya.

"Amerika Syarikat, Kanada, Australia, dan New Zealand berasal dari ibu kandung yang sama menggunakan bahasa Inggeris, dan mempertahankan nama bahasa berkenaan.

"Singapura juga demikian untuk 'bahasa pertamanya'. Ini jelas menunjukkan nama bahasa adalah eksponen martabat bahasa berkenaan," katanya ketika menyampaikan ucaptama secara maya bertajuk Martabat Bahasa Kebangsaan pada Simposium Pengantarabangsaan Bahasa Melayu yang diadakan di Wisma Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Asmah berkata, jika bahasa Melayu digantikan dengan nama lain, secara tidak langsung akan tenggelamlah sejarahnya seperti hilangnya nama 'Tasik Melayu', yang digantikan dengan nama 'Selat Melaka'.

"Lama-waktu komuniti etnik Melayu sungguh panjang, bukan baru wujud sejak 500 tahun dahulu. Adanya alam Melayu tetapi tidak masuk akal kerana tidak ada laut Melayu, sedangkan ada lautan bermacam lautan termasuk Jawa, China dan Sulawesi.

"Ini tidak bermakna suatu masa dulu tidak ada nama laut Melayu, sedangkan nama Selat Melaka yang kita kenal sekarang, nama asalnya ialah Tasik Melayu, tasik adalah bahasa lama yang bermakna lautan.

"Jika lihat dari sejarah, nama Selat Melaka hanya muncul dalam abad ke-15 kerana Parameswara yang lari dari Singapura bersandar di bawah pohon melaka selepas Singapura diserang Majapahit. Jadi (nama) Selat Melaka itu datang kemudian," katanya.

Beliau berkata, pengekalan nama bahasa Melayu adalah wajar selari dengan dua daripada 'Tujuh Wasiat Raja-Raja Melayu' yang diturunkan pada 31 Ogos 1957.

Katanya, yang memetik wasiat pertama iaitu 'Kami namakan dan kami panggil akan dia, bumi yang kamu pijak dan langit yang kamu junjung, Persekutuan Tanah Melayu', manakala wasiat kelima, 'Kami tetapkan bahasa kebangsaan ialah bahasa Melayu'.

"Penggunaan nama 'bahasa Malaysia' yang tidak selaras dengan kehendak Raja-raja Melayu, hanya untuk tempoh yang pendek dengan tujuan mengembalikan suasana aman damai selepas konflik perkauman susulan 'Peristiwa 13 Mei 1969'.

"Nama bahasa Melayu dalam Perlembagaan tidak diusik. Kehendak Raja-raja Melayu secara tidak langsung menyatakan lama-waktu ada pada perkataan 'Melayu'yang mengikat asal usul bahasa itu dengan nama etnik penuturnya," katanya.

Jelasnya lagi, penggunaan nama 'bahasa Malaysia' bagi menggantikan nama bahasa Melayu tidak mencapai martabat ketinggian sesebuah bahasa kerana sejarahnya hanya dalam tempoh pendek iaitu bermula pada 1963.

"Bahasa Melayu tinggi tidak muncul secara tiba-tiba dengan adanya Srivijaya. Pertumbuhannya berlaku jauh lebih lama dari itu. Istilah-istilah Sanskrit dalam batu-batu bersurat itu terdiri dari nama pangkat, takwim dan unsur agama dan budaya Hindu-Buddha.

"Selainnya, teks itu sudah menggambarkan bahasa Melayu yang sesuai dengan peradabannya. Daripada bukti ini, kesimpulannya bahasa Melayu pada zaman itu sudah mencatat time-depth, iaitulama-waktu atau sejarahnya yang cukup panjang," katanya.

Asmah turut menekankan, aspek tempoh masa kewujudan dan penggunaan sesuatu bahasa penting bagi pertumbuhan bahasa dari segi filogenetik dan juga peraturan sosiolinguistiknya.

Ia menunjukkan, adanya adab tertib yang sangat penting dalam peradaban Melayu, dan diperkuatkan lagi dengan budaya hidup yang dibawa oleh agama Islam.

Berita Harian X