Ahad, 22 Mei 2022 | 11:00am

Bahasa Melayu 'lingua franca': Kerjasama ASEAN perlu perancangan rapi

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berharap skop kerjasama antara negara ASEAN dapat dirancang dengan lebih rapi supaya Bahasa Melayu kembali dijadikan 'lingua franca'.

Beliau berkata, ia termasuk dalam aspek penyelidikan, penerbitan dan pemupukan Bahasa Melayu.

"Bahasa Melayu memiliki keunikan dan kelebihan tersendiri khususnya dalam kalangan negara ASEAN dan ia diyakini boleh dijadikan salah satu bahasa rasmi ASEAN," katanya ketika merasmikan Simposium Pengantarabangsaan Bahasa Melayu di Wisma Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) di sini, hari ini.

Ismail Sabri berkata, di peringkat ASEAN penyatuan sistem ejaan Rumi dan peristilahan telah tercapai melalui forum kerjasama seperti Majlis Bahasa Brunei Darussalam-Indonesia-Malaysia (MABBIM) dan Majlis Sastera Asia Tenggara (MASTERA).

Justeru, katanya Bahasa Melayu perlu dimartabatkan dalam negara, termasuk meminda Akta DBP 1959 bagi memberi kuasa kepada DBP untuk menjalankan penguatkuasaan terhadap kesalahan pengunaan bahasa berkenaan.

Ismail Sabri menjelaskan, peranan dan tanggungjawab DBP sebagai badan perancangan bahasa, sastera dan penerbitan negara perlu diperincikan dengan lebih jelas supaya pelaksanaan peruntukan Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan, Akta Bahasa Kebangsaan dan undang-undang lain yang berkaitan dengan bahasa kebangsaan lebih berkesan.

Mengulas lanjut, beliau berkata usaha sewajarnya juga perlu dilakukan untuk memperluaskan pengajaran dan penggunaan Bahasa Melayu di institusi pendidikan tinggi di negara ini.

Beliau menegaskan, Malaysia dan rakyatnya sepatutnya mempunyai jati diri dan membuktikan bahawa mendaulatkan Bahasa Melayu tidak mengekang kemajuan negara kerana banyak negara yang mencapai status negara maju dengan mendaulatkan bahasa sendiri.

Sehubungan itu, beliau menyeru seluruh Keluarga Malaysia terutamanya penjawat awam memberikan komitmen untuk melaksanakan usaha memartabatkan bahasa berkenaan.

Simposium Pengantarabangsaan Bahasa Melayu yang bermula hari ini hingga 24 Mei adalah kerjasama antara Pejabat Perdana Menteri dengan DBP serta Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA) dan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Simposium itu membabitkan tiga Ucap Utama, 15 Sidang membabitkan pembentangan kertas kerja oleh 60 tokoh dari Malaysia, negara ASEAN dan antarabangsa serta dua forum membabitkan 12 tokoh.

– BERNAMA

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob. - Foto fail NSTP
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob. - Foto fail NSTP
Berita Harian X