KUALA LUMPUR: Rakyat Malaysia perlu mempunyai jati diri dalam memartabatkan bahasa Melayu dan membuktikan bahasa ibunda itu tidak mengekang kemajuan negara, kata Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Menegaskan banyak negara sudah mencapai status maju dengan mendaulatkan bahasa sendiri, Perdana Menteri sehubungan itu meminta seluruh Keluarga Malaysia, terutama penjawat awam memberikan komitmen untuk melaksanakan usaha memartabatkan bahasa kebangsaan.
"Saya ingin menegaskan pentingnya semua sektor menggunakan bahasa Melayu dengan seluas-luasnya kerana ia adalah bahasa urusan rasmi kerajaan persekutuan, kerajaan negeri dan pihak berkuasa awam.
"Peluasan penggunaannya hendaklah dilaksanakan di semua jabatan dan agensi kerajaan, syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat swasta. Jadikanlah peribahasa "di mana bumi dipijak, di situ langit dijunjung"," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Simposium Pengantarabangsaan Bahasa Melayu di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) di sini, hari ini.
Yang turut hadir, Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Datuk Seri Mohd Syafiq Abdullah; Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani dan Pengerusi Lembaga Pengelola DBP, Prof Datuk Seri Dr Awang Sariyan.
Ismail Sabri berkata, arahan juga sudah dikeluarkan supaya semua urusan membabitkan luar negara, termasuk surat menyurat mesti menggunakan bahasa Melayu.
"Setiap surat yang saya sendiri hantar kepada pemimpin dunia menggunakan bahasa Melayu dengan terjemahan bahasa Inggeris sebagai lampiran. Saya juga sudah memulakan rundingan dua hala dengan menggunakan bahasa Melayu dan tidak ada cacat celanya rundingan itu menggunakan bahasa Melayu.
"Persidangan juga menggunakan bahasa Melayu. Ketika Sidang Kemuncak Khas ASEAN-Amerika Syarikat (AS) bersama Presiden AS (Joe Biden), saya menggunakan bahasa Melayu. Mesej yang saya sampaikan jelas diterima presiden walaupun saya berbahasa Melayu," katanya.
Ismail Sabri berkata, usaha mengantarabangsakan bahasa Melayu di persada dunia sudah menjadi dasar kerajaan dan ia antara satu bidang keutamaan kerangka Dasar Luar Negeri Malaysia yang dilancarkan pada 7 Disember 2021, iaitu diplomasi kebudayaan.
Selain itu, katanya, DBP juga sudah mengadakan beberapa bengkel bagi memastikan urusan pindaan Akta DBP 1959 dapat dilaksanakan secepat mungkin, yang memberi lebih kuasa kepada badan itu menguatkuasakan penggunaan bahasa Melayu.
Beliau juga berharap skop kerjasama antara negara-negara ASEAN, termasuk dalam aspek penyelidikan, penerbitan dan pemupukan dapat dirancang dengan lebih rapi supaya bahasa Melayu kembali dijadikan 'lingua franca', .
"Bahasa Melayu memiliki keunikan dan kelebihan tersendiri, khususnya dalam kalangan negara ASEAN dan ia diyakini boleh dijadikan salah satu bahasa rasmi ASEAN," katanya.
Ismail Sabri berkata di peringkat ASEAN, penyatuan sistem ejaan Rumi dan peristilahan telah tercapai melalui forum kerjasama seperti Majlis Bahasa Brunei Darussalam-Indonesia-Malaysia (MABBIM) dan Majlis Sastera Asia Tenggara (MASTERA).
Justeru, katanya, Bahasa Melayu perlu dimartabatkan dalam negara, termasuk meminda Akta DBP 1959 bagi memberi kuasa kepada DBP untuk menjalankan penguatkuasaan terhadap kesalahan pengunaan bahasa berkenaan.
Pada sidang medianya, Perdana Menteri turut menjelaskan salah faham mengenai usaha Malaysia untuk menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa ASEAN.
"Kita gunakan bahasa Melayu sebagai induk, tapi cabangnya adalah bahasa Malaysia, Indonesia, Brunei, Singapura dan selatan Thai. Mungkin ada silap faham, seolah-olah bahasa Malaysia ini yang mahu dijadikan bahasa ASEAN, jadi ramai kawan di negara jiran mengkritik, mungkin pemahamannya silap," katanya.
Beliau berkata, tidak ada sebab mengapa rakyat Malaysia tidak yakin untuk menggunakan bahasa Melayu kerana rakyat banyak negara seperti Perancis, Jerman dan Jepun menggunakan bahasa ibunda mereka dan terbukti boleh maju berbanding negara lain.
"Saya harap kita semua jangan malu menggunakan bahasa Melayu dan bahasa ini tidak boleh dimartabatkan jika kita sendiri tidak yakin," katanya.