Ahad, 22 Mei 2022 | 10:36am

Mesyuarat Kabinet dipercepatkan esok, bincang isu bekalan ayam dan harga barang

KUALA LUMPUR: Mesyuarat Kabinet yang biasanya diadakan pada Rabu dipercepatkan ke esok, khusus bagi membincangkan isu bekalan bahan mentah, termasuk ayam dan peningkatan harga barang serta kos sara hidup.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata beliau sudah mengarahkan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi serta Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee membentangkan pelan bagi mengatasi masalah berkenaan.

"Esok, saya percepatkan Mesyuarat Kabinet kerana isu yang banyak sekarang ini, bukan hanya membabitkan ayam, tetapi juga isu membabitkan kos sara hidup yang kita jangka meningkat.

"Ini masalah global, masalah perang dan sebagainya. Sudahlah ketika pandemik (COVID-19), tidak boleh keluarkan makanan dan bila elok sikit, tiba-tiba perang," katanya pada sidang media selepas merasmikan Simposium Pengantarabangsaan Bahasa Melayu di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) di sini, hari ini.

Perdana Menteri menjelaskan, mesyuarat Kabinet esok juga khusus untuk mencari jalan bagaimana kerajaan dapat mengimbangi bekalan dan kenaikan harga yang mendadak ini.

"Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna akan tumpu kepada kenaikan harga mendadak ini, manakala Kementerian Pertanian dan Industri Makanan khusus bincangkan bekalan bahan makanan, termasuk ayam," katanya.

Untuk rekod, setiap minggu Mesyuarat Kabinet biasanya diadakan pada Rabu, manakala sepanjang sesi persidangan Dewan Rakyat, ia diadakan pada Jumaat.

Ismail Sabri ditanya mengenai isu bekalan ayam yang semakin meruncing di seluruh negara apabila peniaga mendakwa tidak mendapat bekalan, manakala jika ada bekalan yang dihantar, ia jauh lebih kurang dari biasa.

BH hari ini melaporkan kekurangan bekalan ayam segar menyebabkan kebanyakan peniaga ayam di beberapa negeri kehabisan stok seawal jam 7 pagi semalam dan terpaksa menutup awal perniagaan mereka.

Di beberapa negeri, peniaga terpaksa mencatu jumlah ayam untuk dijual kepada pelanggan disebabkan masalah sama. Lebih teruk, ada peniaga yang mendakwa terpaksa menutup perniagaan mereka semalam dan hari ini.

Keadaan diburukkan lagi dengan pembelian panik oleh pelanggan disebabkan laporan ugutan kartel industri ternakan ayam didakwa merancang menutup ladang ternakan semalam dan hari ini sebagai protes kepada kerajaan yang dikatakan lambat melakukan bayaran subsidi harga ayam sebanyak 60 sen.

Mengenai kenaikan harga barang makanan, Ismail Sabri menjelaskan, ia antara lain disebabkan peperangan Rusia-Ukraine yang mengakibatkan bekalan gandum dunia terjejas teruk kerana satu pertiga pengeluaran gandum dunia adalah dari dua negara itu.

"Beberapa negara pula menyekat pengeksportan gandum kerana mengutamakan bekalan untuk diri sendiri. Jadi jika mengikut teori ekonomi, apabila permintaan melebihi penawaran, sudah tentu harga meningkat," katanya.

Mesyuarat Kabinet dipercepatkan esok khusus bagi membincangkan mengenai peningkatan harga barang dan kos sara hidup. - Foto fail NSTP
Mesyuarat Kabinet dipercepatkan esok khusus bagi membincangkan mengenai peningkatan harga barang dan kos sara hidup. - Foto fail NSTP
Berita Harian X