Sabtu, 21 Mei 2022 | 12:25pm
- Foto hiasan
- Foto hiasan

Bakal jemaah haji remaja disaran ambil dos penggalak

KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan (KKM) menyarankan semua bakal jemaah haji remaja berumur 12 hingga bawah 18 tahun untuk mengambil dos penggalak vaksin COVID-19 sebagai langkah tambahan sebelum berangkat ke Tanah Suci.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin, berkata langkah itu bertujuan mengurangkan risiko jangkitan COVID-19 dalam kalangan jemaah dengan mengambil kira perhimpunan ramai serta membabitkan jemaah haji dari seluruh dunia.

Katanya, sebelum ini, KKM menyarankan semua bakal jemaah haji terutama individu berusia 60 tahun dan ke atas serta individu dewasa berumur 18 hingga 59 tahun yang mempunyai risiko klinikal penyakit teruk mendapatkan dos penggalak kedua sebelum berangkat ke Tanah Suci.

"KKM kini menyarankan agar semua bakal jemaah haji remaja berumur 12 hingga bawah 18 tahun untuk mengambil dos penggalak vaksin COVID-19.

"Syarat yang ditetapkan KKM bagi jemaah haji remaja mengambil dos penggalak COVID-19 ialah sekurang-kurangnya lima bulan selepas menerima dos kedua vaksin dos primer.

"Bagi remaja yang telah lengkap mengambil dos primer dan didapati mengalami jangkitan COVID-19 mereka layak menerima dos penggalak sebaik sahaja pulih sepenuhnya," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Khairy berkata, vaksin COVID-19 boleh diberikan dalam sela masa dua minggu sebelum atau selepas vaksin lain diberikan.

"Saranan ini kerana memandangkan jemaah haji juga perlu mengambil suntikan lain seperti meningococcal, influenza atau pneumococcal, jadi pemberian dos penggalak vaksin COVID-19 boleh diberikan dalam sela masa dua minggu sebelum atau selepas vaksin lain diberikan.

"Bakal jemaah haji itu boleh mendapatkan dos penggalak dengan hadir secara terus tanpa janji temu (walk-in) di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) yang masih beroperasi dengan membawa dokumen sokongan berkaitan seperti bukti surat tawaran menunaikan haji," katanya.

Pada tahun ini, kerajaan Arab Saudi membenarkan pelaksanaan ibadah haji kepada sejuta jemaah haji dari semua negara selepas dua tahun ia ditangguhkan akibat pendemik COVID-19.

Seperti negara lain, kuota haji yang ditawarkan kepada Malaysia pada tahun ini dihadkan kepada hanya 45 peratus daripada kuota pada 2019 iaitu 14,306 orang jemaah berbanding 31,600 orang.

Berita Harian X