X
Sabtu, 21 Mei 2022 | 11:29am

Hanya tinggal ayam 'pencen', ayam kampung

SEREMBAN: Hanya tinggal ayam 'pencen' dengan ayam kampung.

Itu situasi bekalan ayam di pasar tumpuan dan beberapa pasar raya di sini apabila ayam segar habis terjual menjelang 9 pagi.

Tinjauan di Pasar Ampangan, mendapati terdapat empat gerai yang menjual ayam, namun hanya satu masih mempunyai bekalan ayam, menyebabkan orang ramai tertumpu di hadapan premis itu.

Seawal 7 pagi, orang ramai sudah berbaris panjang tidak seperti kebiasaan, untuk membeli ayam di gerai berkenaan memandangkan tiga gerai lain hanya menjual ayam tua dan ayam kampung berikutan kekurangan stok.

Seorang peniaga di Pasar Ampangan meletakkan notis bekalan ayam daging jualannya habis, hari ini. - NSTP/AZRUL EDHAM
Seorang peniaga di Pasar Ampangan meletakkan notis bekalan ayam daging jualannya habis, hari ini. - NSTP/AZRUL EDHAM

Peniaga ayam, Muhammad Husni Abd Kudus, 38, isu kekurangan bekalan daripada pembekal semakin meruncing sejak sambutan Aidilfitri ekoran permintaan yang tinggi.

"Saya memang dapat bekalan 300 ekor sehari sahaja daripada pembekal walaupun menempah lebih banyak. Biasanya 300 ekor ini untuk memenuhi permintaan pelanggan yang sudah membuat tempahan awal.

"Hari tertentu, ada lebihan ayam kira-kira 90 ekor untuk dijual kepada pelanggan yang datang ke gerai dan biasanya akan habis kira-kira 8 pagi," katanya ketika ditemui di pasar berkenaan.

Muhammad Husni hanya menjual ayam tua berikutan bekalan ayam daging diperolehinya terhad. NSTP/ AZRUL EDHAM
Muhammad Husni hanya menjual ayam tua berikutan bekalan ayam daging diperolehinya terhad. NSTP/ AZRUL EDHAM

Seorang lagi peniaga ayam, Zulkipli Akhir, 58, berkata sejak Aidilfitri lalu, pembekal menaikkan harga sebanyak enam kali, namun dia masih menetapkan harga sama.

"Sejak menjual ayam dari 1983, ini kali pertama berlaku kekurangan bekalan yang sangat teruk. Jika minta 100 ekor, akan dapat 80 sahaja dan difahamkan pihak pembekal meminta kami supaya menutup premis selama dua hari.

"Namun, saya tetap juga meminta daripada pembekal dan berharap akan dapat bekalan ayam untuk esok kerana permintaan daripada pelanggan tinggi ketika ini," katanya.

Warga emas, Normah Mohd Noor, 62, berkata dia biasanya hanya membeli ayam kampung untuk memasak rendang, namun tiada pilihan kerana terpaksa beratur untuk membeli ayam daging.

"Saya pelik apabila tengok orang ramai beratur untuk membeli ayam di pasar hari ini. Saya tidak mengikuti perkembangan semasa mengenai bekalan ayam ini," katanya.

Tinjauan di beberapa pasar raya kemudian juga mendapati ayam habis dijual, kecuali ayam tua, ayam kampung dan ayam siap dipotong yang dijual pada harga mencecah RM18.90 sekilogram.

Orang ramai beratur panjang untuk membeli ayam segar di Pasar Ampangan, hari ini. - NSTP/AZRUL EDHAM
Orang ramai beratur panjang untuk membeli ayam segar di Pasar Ampangan, hari ini. - NSTP/AZRUL EDHAM
Berita Harian X