Jumaat, 20 Mei 2022 | 11:58pm

PM yakin Terengganu dapat capai sasaran 3 juta pelancong tahun ini

KUALA TERENGGANU: Pembangunan sektor pelancongan di Terengganu yang terkenal dengan keunikan makanan serta kaya dengan budaya diyakini mampu menarik tiga juta pelancong seperti disasarkan kerajaan negeri tahun ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata keistimewaan yang ada pada Terengganu akan menjadikan negeri itu sebagai destinasi pilihan pelancong dalam dan luar negara.

"Saya amat berbangga dengan pembangunan sektor pelancongan di negeri Terengganu (dan) dengan pelbagai tarikan pelancongan yang unik termasuk Jambatan Angkat yang pernah dinobatkan sebagai ikon pelancongan terbaik pada 2019, saya yakin Kerajaan Negeri Terengganu mampu mencapai sasarannya.

"Sepertimana kempen `Beautiful Terengganu' yang giat dipromosi kerajaan negeri, kita dapat lihat sendiri keunikan dan kecantikan Negeri Terengganu.

"Jadi marilah kita pakat mari ke Terengganu - negeri cantik, budaya menarik, orangnya pula baik-baik belaka," katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Rumah Terbuka Malaysia (MRTM) Aidilfitri 2022 di Dataran Drawbridge di sini malam ini.

Turut hadir, Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar dan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Seri Nancy Shukri.

Sementara itu, Nancy berkata, Terengganu dilihat sebuah negeri berpotensi besar menjadi destinasi pelancongan utama negara kerana kaya dengan kepelbagaian produk pelancongan berteraskan kekayaan alam semula jadi, keunikan budaya kesenian, warisan dan tinggalan sejarahnya yang tersendiri.

Katanya, antara kawasan menarik di Terengganu adalah air terjun dan kolam air panas di Besut, Resorts World Kijal, pusat seni ukiran, industri batik dan songket selain memiliki kawasan persisiran pantai terpanjang dan indah sejauh 244 kilometer.

"Justeru, amat bertepatan Terengganu dikenali sebagai 'Negeri Cantik, Budaya Menarik, Orangnya Pun Baik-Baik'.

"MOTAC sebagai agensi utama kerajaan akan terus melaksanakan peranannya, merancakkan semula industri pelancongan negara setelah teruk terjejas akibat COVID-19," katanya.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob merasmikan Majlis Rumah Terbuka Malaysia (MRTM) Aidilfitri 2022 di Dataran Drawbridge di sini, malam ini. NSTP/GHAZALI KORI
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob merasmikan Majlis Rumah Terbuka Malaysia (MRTM) Aidilfitri 2022 di Dataran Drawbridge di sini, malam ini. NSTP/GHAZALI KORI
Berita Harian X