Jumaat, 20 Mei 2022 | 5:51pm
Foto hiasan
Foto hiasan

2,249 kes HMFD di Negeri Sembilan

SEREMBAN: Kes jangkitan penyakit kaki, tangan dan mulut (HFMD) di Negeri Sembilan dilaporkan meningkat apabila merekodkan sebanyak 2,249 setakat semalam.

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak, Kesihatan, Alam Sekitar, Koperasi dan Kepenggunaan negeri, S Veerapan, berkata Seremban mencatatkan jumlah tertinggi iaitu sebanyak 1,358 kes.

"Daerah Seremban mencatatkan jumlah kes HFMD yang paling tinggi diikuti Port Dickson (274), Jempol (200), Rembau (197), Kuala Pilah (87), Tampin (83) dan Jelebu 50 kes.

"Kumulatif wabak HFMD di Negeri Sembilan pada tahun ini adalah sebanyak 35 wabak dan daripada jumlah itu, hanya empat wabak yang masih aktif iaitu tiga di daerah Jempol dan satu di daerah Kuala Pilah," katanya dalam kenyataan hari ini.

Veerapan berkata, peningkatan kes yang ketara pada tahun ini berbanding tahun lepas di Negeri Sembilan adalah berikutan pembukaan semula sektor pendidikan dan tempat awam.

Beliau berkata, setakat ini tiada pusat taman didikan kanak-kanak (tadika) atau taman asuhan kanak-kanak (taska) yang ditutup.

"Ibu bapa diminta untuk terus memantau tahap kesihatan anak masing-masing dan tidak menghantar anak ke sekolah atau pusat jagaan (tadika/taska) jika mengalami gejala HFMD seperti demam, ulser di mulut, lepuh di tangan atau kaki," katanya.

Berita Harian X