Jumaat, 20 Mei 2022 | 1:19pm

Wakil Sarawak perlu ada di dalam LHDN

KUCHING: Sarawak masih menunggu maklum balas Kerajaan Persekutuan berhubung permohonan untuk meletakkan wakil daripada negeri ini sebagai ahli Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Undang-Undang, MA63 dan Hubungan Negeri-Persekutuan), Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali, berkata adalah penting bagi Sarawak untuk memiliki wakil di dalam badan berkanun itu bagi memastikan Kerajaan Sarawak mengetahui kedudukan kewangan negara.

Justeru katanya, kerajaan Sarawak akan meneruskan perbincangan dan rundingan dengan Kerajaan Persekutuan bagi memastikan tuntutan itu dapat diselesaikan dengan jayanya.

"Sarawak perlu memiliki wakil di dalam LHDN untuk membantu usaha kerajaan Sarawak dalam perbincangan dan rundingan berkenaan pemberian khas di bawah Perkara 112D Perlembagaan Persekutuan.

"Bagaimanapun, sehingga kini kerajaan Sarawak belum menerima maklum balas daripada Kerajaan Persekutuan berhubung perkara itu," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Datuk Ibrahim Baki (GPS-Satok) pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, hari ini.

Ketika ditanya apakah peruntukan lain di dalam Perlembagaan Persekutuan yang dituntut Sarawak untuk dipinda selain Perkara 1(2), 160(2) dan 161A (6) dan (7), Sharifah Hasidah berkata, kerajaan Sarawak sudah mengemukakan cadangan pindaan senarai perundangan di dalam Jadual Kesembilan Perlembagaan Persekutuan.

"Ia khususnya untuk memindahkan "Pelancongan" daripada Butiran 25A dalam Senarai I (Senarai Persekutuan), untuk disenaraikan sebagai salah satu butiran di dalam Senarai III (Senarai Bersama)," katanya.

Menurutnya lagi, empat tuntutan Sarawak menerusi Mesyuarat Majlis Khas Mengenai Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) sudah diluluskan Kerajaan Persekutuan iaitu persetujuan rundingan antara Kerajaan Sarawak dan Petroliam Nasional Berhad (PETRONAS) melalui Commercial Settlement Agreement (CSA) dan pengiktirafan hak Sarawak untuk mengenakan cukai jualan ke atas produk petroleum.

Selain itu katanya, Kerajaan Persekutuan sudah mengiktiraf hak Sarawak untuk mengawal selia pengagihan gas di Sarawak dan pindaan kepada Perkara 1(2), 160(2) dan 161A (6) dan (7) kepada Perlembagaan Persekutuan berkuat kuasa mulai 11 Februari 2022.

"Ada juga tuntutan kerajaan Sarawak yang masih lagi dalam perbincangan iaitu isu pentadbiran badan kehakiman di Sabah dan Sarawak, cadangan pengiktirafan Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak, Jabatan Pengairan dan Saliran Sarawak (DID) dan Jabatan Bekalan Air Luar Bandar Sarawak (JBALB) sebagai Jabatan Teknik di bawah Arahan Perbendaharaan 182.

"Kita juga masih membincangkan cadangan penambahan jumlah Ahli Dewan Rakyat Dari Sabah dan Sarawak di Parlimen serta perbincangan mengenai formula semakan Pemberian Khas di bawah Perkara 112D Perlembagaan Persekutuan," katanya.

Berita Harian X