Khamis, 19 Mei 2022 | 1:42pm
Gambar hiasan
Gambar hiasan

Harga lembu korban Aidiladha naik 30 hingga 40 peratus

SEREMBAN: Umat Islam yang ingin menunaikan ibadah korban ternakan sempena Aidiladha tahun ini, dijangka berdepan kenaikan harga di antara 35 hingga 40 peratus, berikutan kos operasi yang tinggi ditanggung penternak.

Pengerusi Persatuan Usahawan Ruminan Negeri Sembilan (PURNS), Maarif Maarof, berkata penternak menghadapi pelbagai kenaikan kos operasi ternakan lembu, terutama bahan makanan iaitu dedak selain ubat-ubatan yang tinggi.

Beliau berkata, harga seekor lembu ketika ini sudah meningkat sekurang-kurangnya RM5,200 berbanding tahun lalu di bawah RM5,000 seekor.

"Kita menjangkakan kadar kenaikan harga korban ternakan antara 35 hingga 40 peratus. Berbanding tahun lalu, satu bahagian korban mungkin antara RM650 hingga RM700 tetapi tahun ini mencecah antara RM750 hingga RM850.

"Kami tidak mampu elak kenaikan harga kerana penternak menghadapi kenaikan kos operasi yang tinggi, terutama aspek bahan makanan serta ubat-ubatan ternakan.

"Harga makanan ternakan mendadak naik dan penternak terpaksa menyerap segala kos itu dengan menaikkan harga lembu korban tahun ini," katanya di sini, hari ini.

Sementara itu, Pengarah Urusan Sumobek Sdn Bhd, Mohd Nasir Samat, berkata pihaknya terpaksa menaikkan kadar lembu korban kerana stok yang diterima daripada pembekal tinggi.

Beliau berkata, kenaikan itu tidak dapat dielakkan berikutan kekurangan bekalan haiwan berkenaan dan kos penternakan yang mahal selain permintaan tinggi lembu pada masa ini.

"Pada masa ini secara purata harga lembu seekor sudah mencecah lebih RM5,200 naik lebih daripada RM400 bagi menampung kenaikan kos yang berterusan.

"Selain harga makanan yang meningkat, saya turut menghadapi kesukaran membeli lembu kerana kebanyakan penternak tidak mahu menjual ternakan mereka ekoran kerana kenaikan harga sawit," katanya yang mengusahakan pusat ternakan dan sembelihan di Kampung Melayu Panchor di sini.

Mohd Nasir berkata, permintaan terhadap lembu korban tetap ada namun pihaknya terpaksa menyediakan ternakan itu yang bersaiz lebih kecil sesuai dengan kemampuan pelanggan."Setiap ekor lembu mungkin pada kadar berat 220 kilogram (kg) berbanding tahun lalu mencecah 300kg dan lebih. Ikut kemampuan pelanggan," katanya.

Menurutnya, semua penternak di Negeri Sembilan menghadapi perkara yang sama dan mereka terpaksa melakukannya kerana kos operasi yang berterusan tinggi.

Beliau berharap kerajaan dapat membuat kawalan terhadap harga kos makanan dan ubat-ubatan ternakan bagi meringankan beban penternak.

"Dengan adanya kawalan harga bahan makanan ternakan, mungkin kadar ini dapat dikurangkan sekali gus meringankan beban pengguna," katanya

Berita Harian X