Rabu, 18 Mei 2022 | 12:46pm
Pekerja kontrak didenda RM3,000 selepas didapati bersalah menggunakan maklumat palsu ketika mendaftarkan kelahiran seorang bayi perempuan dua tahun lalu.
Pekerja kontrak didenda RM3,000 selepas didapati bersalah menggunakan maklumat palsu ketika mendaftarkan kelahiran seorang bayi perempuan dua tahun lalu.

Lelaki didenda RM3,000 daftar bayi guna maklumat palsu

IPOH: Seorang lelaki didenda RM3,000 oleh Mahkamah Majistret Ipoh hari ini, selepas mengaku bersalah menggunakan maklumat palsu ketika mendaftarkan kelahiran seorang bayi perempuan dua tahun lalu.

Majistret Noor Azreen Liana Mohd Darus menjatuhkan hukuman itu ke atas Muhammad Ridzuan Chan Abdullah, 49, selepas tertuduh mengaku bersalah sejurus pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah.

Selain itu, mahkamah turut memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara selama empat bulan penjara sekiranya gagal membayar denda. Tertuduh membayar denda itu.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Hisam Saruddin, manakala tertuduh diwakili peguam bela, G Harbhajan Singh.

Berdasarkan pertuduhan, Muhammad Ridzuan Chan, yang juga pekerja kontrak didakwa kerana membenarkan catatan palsu dalam daftar kelahiran atas nama seorang bayi perempuan dengan pengetahuan itu adalah palsu.

Tertuduh melakukan kesalahan itu di bertempat di Kaunter Jabatan Pendaftaran Negara Cawangan UTC Ipoh jam 11 pagi, 10 September 2020.

Oleh yang demikian tertuduh didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 36 (1) (c) Akta Pendaftaran Kelahiran dan Kematian 1957 (Akta 299) yang memperuntukkan denda tidak melebihi RM20,000 atau pemenjaraan bagi suatu tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Berdasarkan fakta kes, kejadian itu bermula apabila lelaki berkenaan dan isterinya membawa seorang bayi ke Klinik Ibu & Anak Klinik Kesihatan Buntong selepas mengidap jaundis untuk mendapatkan rawatan susulan.

Semakan jururawat mendapati pasport dikemukakan adalah milik orang lain dan seterusnya aduan dibuat ke Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Negeri Perak untuk tindakan lanjut.

Kes ini dirujuk kepada Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan JPN untuk siasatan lanjut, satu laporan polis dibuat di Balai Polis Jelapang pada hari sama.

Hasil siasatan mendapati bayi perempuan berkenaan bukanlah dilahirkan oleh isteri tertuduh tetapi rakan kepada isteri tertuduh. Pasangan ini berkahwin di Indonesia dan mempunyai seorang anak perempuan.

Kes terjadi apabila rakan kepada isteri Muhammad Ridzuan Chan yang juga wanita pendatang tanpa izin (PATI) Indonesia mengandung tanpa dokumen.

Apabila kelahiran berlaku di sebuah pusat perubatan pakar di Ipoh, tertuduh memberikan pasport Indonesia milik isterinya sebagai dokumen pengenalan diri buku rekod kesihatan ibu dan borang pengesahan kelahiran juga menggunakan maklumat pasport Indonesia isterinya.

Siasatan juga mendapati bayi berkenaan dijaga sehingga kini oleh tertuduh dan isteri serta mereka kononnya bercadang menjadikan bayi perempuan berkenaan sebagai anak angkat.

Tertuduh bersama kesemua dokumen sokongan hadir di JPN UTC Ipoh untuk mendaftar kelahiran bayi itu, hingga mendorong petugas kaunter mengeluarkan satu sijil kelahiran atas nama seorang bayi dengan mengandungi maklumat palsu.

Berita Harian X