Selasa, 17 Mei 2022 | 6:14pm

Laporan penuh isu Batu Putih diketahui tiga bulan lagi

KUALA LUMPUR: Laporan penuh Pasukan Petugas Khas (PPK) menyemak isu dan tindakan perundangan kes Pulau Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan akan diketahui tiga bulan lagi.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar, berkata ia sebagaimana termaktub dalam prosedur operasi standard (SOP) penubuhan PPK yang menetapkan laporan penuh perlu dikeluarkan selepas enam bulan.

"PPK diberi tempoh enam bulan untuk menyemak isu dan tindakan undang-undang serta tiga bulan pertama perlu mengeluarkan laporan interim untuk tindakan selanjutnya.

"Saya tidak boleh mendedahkan hasil laporan interim itu, kita kena tunggu tiga bulan lagi untuk dibentangkan ke Kabinet.

"Selepas itu terpulang kepada Kabinet untuk mendedah atau mengumumkan penemuan laporan PPK itu," katanya kepada BH.

Semalam, Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar berkenan menerima laporan interim PPK yang bertanggungjawab menyemak isu dan tindakan perundangan berhubung kes Pulau Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan.

Laporan itu dipersembahkan Wan Junaidi bersama Pengerusi PPK, Tan Sri Mohamed Apandi Ali, yang turut menyampaikan taklimat kepada Sultan Ibrahim di Istana Polo.

Tiga minggu lalu laporan interim itu dikemukakan dan dibentangkan PPK kepada kerajaan.

Dilaporkan PPK sudah mengadakan 12 kali mesyuarat, membabitkan beberapa siri mesyuarat dengan Jawatankuasa Kecil yang ditubuhkan iaitu Jawatankuasa Kecil Legal Aspects, Jawatankuasa Kecil Tort of Misfeasance dan Jawatankuasa Kecil Hubungan Malaysia-Singapura.

Pada Oktober tahun lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan pelantikan Mohamed Apandi sebagai pengerusi pasukan petugas khas bagi tujuan semakan semula undang-undang berkenaan isu Pulau Batu Puteh.

PPK itu akan membuat kajian secara menyeluruh, meneliti dan mencadangkan pilihan bersesuaian dengan mendapatkan pandangan daripada pakar undang-undang antarabangsa.

Wan Junaidi berkata, PPK sentiasa berhubung dan berbincang dengan Istana Johor mengenai isu berkenaan.

Katanya, ini kerana Istana Johor dan kerajaan negeri itu adalah pemegang taruh utama dalam isu berkenaan.

Beliau berkata, Mesyuarat Jawatankuasa Pemantauan sudah memberikan input penambahbaikan untuk perhatian PPK berdasarkan laporan interim itu.

Katanya, PPK kini mempunyai masa tiga bulan lagi untuk menyiapkan laporan mereka sebelum dibentangkan ke Kabinet.

"Pada masa ini PPK juga menanti maklum balas Sultan Johor selepas kita persembahkan laporan interim itu semalam (kelmarin)," katanya

Selain Mohamed Apandi, PPK turut dianggotai peguam Datuk Firoz Hussein Ahmad Jamaluddin, Datuk Dr Baljit Singh Sidhu, Datuk Abu Bakar As-Sidek, Datuk Mohd Sidek dan Datuk Tengku Ahmad Fuad Tengku Ahmad Burhanuddin, bekas Duta Besar Malaysia ke The Hague, Datuk Ahmad Nazri Yusof; wakil Kerajaan Johor, Datuk Mohammed Ridha Abd Kadir; wakil Jabatan Peguam Negara, Datuk Umar Saifuddin Jaafar, wakil Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia, Hamdan Ab Aziz serta wakil Kementerian Luar, Shaharudin Onn.

Berita Harian X