Selasa, 17 Mei 2022 | 3:11pm
 Ronald Kiandee (tengah) melakukan simbolik perasmian majlis program Smart SBB dan MoU antara kerajaan dan syarikat peneraju Pulau Pinang. NSTP/DANIAL SAAD
Ronald Kiandee (tengah) melakukan simbolik perasmian majlis program Smart SBB dan MoU antara kerajaan dan syarikat peneraju Pulau Pinang. NSTP/DANIAL SAAD

Kerajaan ambil langkah atasi krisis bekalan makanan

BUKIT MERTAJAM: Kerajaan sentiasa mengambil langkah dan tindakan untuk mengurangkan kesan dihadapi rakyat, susulan krisis bekalan makanan terhadap beberapa produk pertanian yang mengalami kenaikan harga ketika ini.

Menteri Pertanian dan Industri Makanan (MAFI), Datuk Seri Dr Ronald Kiandee, berkata konflik bekalan makanan bukan saja dirasai Malaysia, bahkan membabitkan semua negara dunia ekoran peningkatan kos pengangkutan termasuk pengeluaran.

Bagaimanapun, katanya, kerajaan sensitif dan sentiasa maklum kesan dialami rakyat di negara ini dengan mengambil tindakan serta langkah segera bagi memastikan bekalan makanan terjamin.

"Sebagai contoh, harga siling ayam ketika ini ditetapkan pada kadar RM8.90 sekilogram (kg) yang mana kerajaan mengeluarkan subsidi bagi menampung kos pengeluaran ditanggung pihak industri.

"Kita mengimport baja dan komponen makanan haiwan dari luar serta peningkatan kos pengangkutan dan pengeluaran memberi kesan kepada kenaikan harga produk makanan (ayam dan sayur-sayuran).

"Tetapi kita tidak membiarkan rakyat bersendirian. Apa yang membezakan kita dengan negara lain adalah cara kita menguruskan impak kenaikan kos dan harga barang, selain memastikan bekalan makanan sentiasa mencukupi," katanya selepas majlis perasmian Program Smart Sawah Berskala Besar (Smart SBB) dan Sesi Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara kerajaan dan syarikat peneraju Pulau Pinang di Permatang Nibong, di sini, hari ini.

Ditanya mengenai bekalan gandum susulan tindakan India menyekat eksport gandum ke pasaran global termasuk Malaysia, Ronald berkata, kerajaan sedang mengurus masalah dihadapi dengan mencari sumber alternatif lain.

"India mengambil keputusan untuk memberhentikan (eksport gandum) demi kepentingan negara mereka.

"Kita pula tidak menanam gandum, tetapi kita ada kapasiti untuk menanam jagung dan tanaman lain.

"Dalam hal ini, kita mempunyai pengimport luar seperti gandum dan produk lain, mereka ini akan cari sumber alternatif lain," katanya.

Berita Harian X