Isnin, 16 Mei 2022 | 2:20pm

Bomba jumpa anggota badan dipercayai pendaki Gunung Suku

IPOH: Pasukan penyelamat menemukan anggota badan manusia dipercayai milik salah seorang daripada dua pendaki wanita yang dihanyutkan kepala air ketika mendaki Gunung Suku, Simpang Pulai di sini, semalam.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Muhamad Shahrizal Aris, berkata, jam 5.05 petang semalam pasukan penyelamat menemukan kaki manusia dalam jarak 300 meter dari lokasi terakhir mangsa dilihat sebelum hilang. Kira-kira jam 10.20 pagi tadi pula, satu lagi anggota badan manusia ditemukan dalam timbunan kayu.

Pencarian dibahagikan kepada dua pasukan iaitu menuruni laluan arus dari hulu ke bawah (upstream) sungai dan satu lagi pasukan dari bawah, menaiki laluan arus sungai (downstream) dari hilir sungai .

Namun katanya, pasukan penyelamat belum dapat menentukan sama ada anggota badan yang ditemukan hari ini adalah sama dengan bahagian kaki yang ditemukan semalam.

"Ia kerana bahagian badan terbabit dijumpai di lokasi yang berbeza. Jadi kami masih tidak dapat memastikan sama ada kedua-dua anggota badan dari mangsa yang sama," katanya ditemui di Pos Kawalan Tempat Kejadian (PKTK) dekat Jalan Simpang Pulai-Cameron Highlands, hari ini.

Operasi mencari digerakkan bermula jam 9.10 pagi dengan menumpukan kepada kawasan laluan air sepanjang 800 meter, bagaimanapun keadaan cuaca yang tidak menentu di kawasan kejadian dilihat mungkin memanjangkan lagi tempoh pencarian.

Mangsa yang hilang dikenali sebagai See Su Yen, 32, dan Ng Yee Chew, 46, masing-masing dari Cheras, Kuala Lumpur dan Klang, Selangor.

Terdahulu, Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, kejadian berlaku dalam kawasan Hutan Simpan Kekal Gunung Suku yang terletak kira-kira tiga jam berjalan dari jalan utama Jalan Simpang Pulai-Cameron Highlands.

Selain kepala air, Mior Faridalathrash berkata kejadian kira-kira jam 5 pagi Ahad turut disusuli tanah runtuh yang berlaku berhampiran lokasi dua mangsa bersama 27 lagi pendaki yang bersamanya.

Ketika kejadian sekumpulan 29 pendaki gunung mendengar bunyi air dan tanah runtuh di atas gunung lalu mengambil keputusan untuk berpatah balik.

Namun, ketika dalam perjalanan turun mereka dilanda kepala air dengan dua daripada mereka dihanyutkan arus deras. Bagaimanapun baki 27 pendaki selamat dan berjaya sampai di kaki gunung.

Anggota bomba mengusung anggota badan manusia yang dipercayai milik seorang daripada dua pendaki wanita hilang yang dihanyutkan kepala air ketika mendaki kawasan Gunung Suku, Simpang Pulai di sini, semalam. - Foto NSTP/Muhammad Zulsyamini Sufian Suri
Anggota bomba mengusung anggota badan manusia yang dipercayai milik seorang daripada dua pendaki wanita hilang yang dihanyutkan kepala air ketika mendaki kawasan Gunung Suku, Simpang Pulai di sini, semalam. - Foto NSTP/Muhammad Zulsyamini Sufian Suri
Berita Harian X