Isnin, 16 Mei 2022 | 7:28am
Hanya 4,239 kes kes jangkitan tangan, kaki dan mulut direkod tahun lalu. Foto hiasan
Hanya 4,239 kes kes jangkitan tangan, kaki dan mulut direkod tahun lalu. Foto hiasan

'HFMD tidak akan berubah jadi pandemik'

KUALA LUMPUR: Jangkitan Penyakit Tangan, Kaki dan Mulut (HFMD) dalam kalangan kanak-kanak bawah usia tujuh tahun tidak akan berubah menjadi pandemik berikutania tidak serius seperti jangkitan disebarkan melalui udara.

Pakar Virologi Universiti Sains Malaysia (USM), Dr Muhammad Amir Yunus, berkata risiko penyakit itu untuk merebak adalah rendah dan tidak begitu membimbangkan sekiranya jangkitan tidak berlaku secara sentuhan dan kumpulan sasaran iaitu kanak-kanak sudah diketahui.

Katanya, secara tipikalnya sistem imun kanak-kanak sangat efektif bagi melawan penyakit berkenaan kerana dalam beberapa hari ia boleh kembali pulih.

"Memang penyakit ini tidak mempunyai vaksin untuk memastikan tiada jangkitan berlaku, tetapi pastikan sekiranya ada simptom yang menunjukkan HFMD, dapatkan rawatan segera di klinik berdekatan.

"Apabila mengaitkan penyakit ini dengan kematian, ia tidak dapat dipastikan dengan tepat kerana perlu mendapat penilaian daripada pakar mengenai tahap imun kanak-kanak berkenaan kerana semua orang tidak mempunyai tahap imunisasi yang sama.

"Secara umumnya populasi manusia dan mengikut taburan bell shape, kira-kira 80 peratus penduduk mempunyai imunisasi yang normal dan selebihnya tidak normal. Jadi agak sukar untuk mengaitkan penyakit HFMD ini dengan kematian melainkan tahap imunisasi itu perlu dinilai oleh pakar," katanya kepada BH, di sini, semalam.

Dilaporkan jangkitan HFMD terus mencatatkan peningkatan apabila merekodkan 28,957 kes pada Minggu Epid 19 di seluruh negara.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar, berkata secara perbandingan hanya 4,239 kes itu direkodkan pada tahun lepas.

Dr Muhammad Amir berkata, selagi virus HFMD ini mempunyai 'rumah' untuk dijangkiti, penyakit ini akan menjadi seolah satu musim dan akan terus meningkat.

"Apabila tiada jangkitan dan kebersihan terjaga tanpa ada sebarang sentuhan daripada pesakit HFMD, jumlah kes akan menurun dan partikel di persekitaran juga akan berkurangan.

"Namun sekiranya jangkitan ini berlaku lebih sekali terhadap seorang kanak-kanak, ia berpunca daripada dua virus yang berlainan iaitu Coxsackie Virus A16 (CA16) dan Enterovirus 71 (EV 71) yang bertindak balas dengan imun kanak-kanak itu.

"Apa yang penting, ibu bapa perlu berjaga-jaga, lihat kepada simptom yang berlaku kerana seperti diketahui, penyakit ini sering merebak dan terjadi di kawasan pusat asuhan dan tadika, selain di rumah," katanya.

Berita Harian X