Ahad, 15 Mei 2022 | 3:34pm

'Pindaan perlembagaan strategi hadapi PRU tanpa masalah dalaman'

KUALA LUMPUR: Pindaan Perlembagaan UMNO dapat memberi ruang kepada parti untuk mengorak langkah dan menyusun strategi yang berkesan bagi menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata langkah itu juga menyebabkan UMNO berhadapan PRU tanpa bergelut dengan masalah dalaman.

"Ini adalah amanah dan tanggungjawab kita kepada kelangsungan parti.

"Ia juga menuntut kita semua untuk berlapang dada dan berjiwa besar bagi memastikan UMNO terus mekar menuju ke satu abad perjuangannya," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Perhimpunan Agung Khas UMNO di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) di sini hari ini.

Perhimpunan Agung Khas itu diadakan bagi meluluskan pindaan menyentuh Fasal 10.16 Perlembagaan UMNO, yang memberi tempoh untuk parti itu melanjutkan pemilihan parti dalam tempoh enam bulan selepas PRU selesai diadakan.

Ahmad Zahid berkata, pindaan perlembagaan itu membawa erti yang cukup besar dan mesejnya amat jelas demi kestabilan untuk menghadapi PRU-15, mengembalikan maruah perjuangan dan mempersiapkan pewaris kesinambungan sebuah perjuangan.

Beliau berkata, apa maknanya agenda kestabilan yang ditawarkan kepada rakyat seandainya dalaman parti sendiri tidak tenteram.

"Parti berpecah, wujudnya puak dan kelompok, yang pada akhirnya merugikan kita semua.

"Ingatlah, kita tidak sanggup melihat UMNO menjadi kucar kacir. Ingatlah, kita tidak sanggup melihat parti berpecah belah. Perpecahan hanya akan merugikan UMNO," katanya

Beliau menegaskan dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dan Johor, UMNO menawarkan kestabilan sebagai jaminan untuk kemakmuran negeri dan kesejahteraan rakyat.

"Kestabilan amat penting untuk kita pertahankan," katanya.

Beliau berkata, sejarah UMNO memperlihatkan bagaimana Perlembagaan dan Peraturan UMNO sentiasa melalui proses pindaan.

"Ia dilakukan agar sesuai dengan keadaan semasa, di samping untuk membendung masalah dalaman, yang boleh menjejaskan kedudukan parti secara keseluruhannya," katanya.

Sejak 1990 sehingga kini, katanya sebanyak tiga kali pindaan Perlembagaan dilaksanakan berkait dengan soal pemilihan.

Beliau berkata, pindaan dibuat atas keperluan semasa dan menilai perubahan corak politik negara.

Dalam perkembangan yang sama katanya, rakyat semakin tidak selesa dengan percaturan mereka yang sering mencari suaka politik untuk kepentingan diri dan kedudukan.

Katanya, pada PRU lalu, UMNO dan Barisan Nasional (BN) berlapang dada menerima kekalahan dan mengakui hakikat keputusan rakyat tanpa sebarang kekacauan.

"Suka saya tegaskan, UMNO tidak mempunyai DNA atau baka untuk mencetuskan kekacauan yang boleh menjerumuskan negara kepada keadaan tidak menentu.

"UMNO punya catatan membangunkan negara. UMNO bersejarahkan kemakmuran dan kestabilan.

"UMNO berwajahkan keharmonian dan kesejahteraan. Justeru, soal kestabilan, keharmonian, kemakmuran serta kesejahteraan, adalah agenda yang tidak pernah luput, daripada kamus perjuangan UMNO" katanya.

Beliau mengingatkan ahli UMNO menjadikan PRU-14 sebagai sempadan dan pengajaran buat negara.

"Pakatan politik yang baharu muncul ketika itu hanya indah khabar daripada rupa. Pepat di luar, rencong di dalam, kokok berdegar-degar ekor bergelumang najis. Rakyat ditipu hidup-hidup!," katanya.

Sementara itu, katanya UMNO mahu melihat agenda Melayu dan Bumiputera terus diperkasakan dan menjadi agenda kerajaan termasuk memperkukuhkan agensi amanah Bumiputera.

Katanya, institusi pegangan ekuiti Bumiputera seperti Permodalan Nasional Berhad (PNB), Lembaga Tabung Haji, FELDA dan Majlis Amanah Rakyat wajib menjadi agenda utama kerajaan tanpa tunduk dengan tekanan untuk agenda berkenaan diketepikan.

Beliau berkata, ini termasuk isu seperti diutarakan dalam Debat Perdana antara dua tokoh politik empat hari lalu, Datuk Seri Najib Razak dan Datuk Seri Anwar Ibrahim membabitkan pegangan ekuiti disertai PNB seperti Sapura Energy.

Katanya, terdapat lebih 10 juta pegangan saham amanah, Amanah Saham Nasional (ASN) turut mempunyai kepentingan dalam syarikat itu yang mesti dibantu.

"Lebih RM5 billion dilaburkan oleh PNB. Syarikat itu menggaji lebih 10,000 tenaga kerja dan lebih 3,000 vendor terlibat. Tanpa menggunakan dana langsung kerajaan, PETRONAS sesuai untuk mengambil alih dan melakukann 'turn-around' sesegera mungkin.

"Namun, kita bersetuju supaya pengauditan forensik wajib dilakukan agar ianya lebih telus," katanya

Perhimpunan Agung Khas UMNO 2022 di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur. - Foto NSTP/Asyraf Hamzah
Perhimpunan Agung Khas UMNO 2022 di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur. - Foto NSTP/Asyraf Hamzah
Berita Harian X