Ahad, 15 Mei 2022 | 3:34pm

Pindaan perlembagaan berkaitan pemilihan UMNO diluluskan

KUALA LUMPUR: Perhimpunan Agung UMNO (PAU) Khas hari ini meluluskan secara rasminya usul pindaan Perlembagaan UMNO bagi membolehkan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) diberi pilihan menentukan tempoh masa pemilihan parti.

Pengerusi Tetap UMNO, Tan Sri Badruddin Amiruldin ketika mempengerusikan PAU Khas itu mengumumkan usul diluluskan sebulat suara 2,586 perwakilan UMNO dari 192 bahagian di seluruh negara yang hadir di Dewan Merdeka Pusat Dagangan Dunia (WTC) di sini, hari ini.

Dengan kelulusan rasmi itu, MKT UMNO diberi dua pilihan di bawah Fasal 10.16 Perlembagaan UMNO, sama ada untuk melanjutkan selama 18 bulan tempoh pemilihan parti atau dalam tempoh enam bulan selepas Pilihan Raya Umum (PRU) selesai diadakan.

Terdahulu, draf pindaan Fasal 10.16 Perlembagaan UMNO itu dibentangkan Naib Presidennya, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, selaku Pengerusi Jawatankuasa Perlembagaan dan Peraturan UMNO.

"Peruntukan Fasal 10.16 yang sedia ada akan dipinda menjadi Fasal 10.16.1 iaitu pemilihan parti sekarang boleh ditangguhkan pada satu masa dalam tempoh tidak melebihi 18 bulan dari tarikh sepatutnya atau sehingga enam bulan dari PRU.

"Susulan kepada pindaan yang dibuat pada Fasal 10.16 itu, maka, kedua-dua Fasal 15.3 dan Fasal 18.2 akan turut terpinda," katanya ketika membentangkan pindaan itu.

Naib Presiden UMNO yang juga Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob kemudiannya bangun menyokong usul dibawa Mohamed Khaled itu.

Sebelum draf pindaan perlembagaan itu dibacakan Mohamed Khaled, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyampaikan ucapannya, antara lain menyentuh usaha pindaan itu dibuat sesuai dengan kehendak politik semasa, selain untuk menjadikan UMNO kekal relevan dalam politik sepanjang zaman.

Turut hadir dalam PAU Khas itu, Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan serta seorang lagi Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mahdzir Khalid, Ahli MKT serta kepemimpinan sayap UMNO.

Ketika memulakan PAU Khas, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan menyatakan ia dipanggil seiring ketetapan di bawah Fasal 8.5 dan Fasal 30 Perlembagaan UMNO dan sudah dipersetujui dalam mesyuarat MKT, 14 April lalu.

Sejak 1990 sehingga kini, UMNO sudah melakukan sebanyak tiga kali pindaan perlembagaannya, berkait dengan soal pemilihan parti.

Pada 1987, Presiden UMNO ketika itu mencadangkan, supaya parti memperkenalkan sistem 10 undi bonus, bagi setiap pencalonan untuk jawatan presiden dan timbalan presiden.

Kemudian, pada 1998, perlembagaan UMNO dipinda lagi, dengan memperkenalkan sistem kuota pencalonan bagi jawatan-jawatan tertinggi parti.

Kali terakhir dipinda pada 2009, dengan membuka ruang pemilihan lebih luas, apabila kuasa memilih tidak lagi terletak di tangan 2,510 perwakilan sewaktu PAU, namun diperluas ke peringkat perwakilan bahagian, membabitkan seramai 146,500 orang.

Cadangan pindaan perlembagaan UMNO bagi melanjutkan tempoh pemilihan parti itu, sebelum ini dibawa Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki ketika menyampaikan ucapan dasarnya pada Perhimpunan Agung Pemuda UMNO 2021, Mac lalu.

Kemudian, MKT menerima usul pindaan itu pada mesyuarat 18 Mac lalu untuk dibawa ke PAU 2021, seterusnya diluluskan perwakilan pada 19 Mac lalu.

Suasana Perhimpunan Agung Khas UMNO 2022 di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur. - Foto NSTP/ASYRAF HAMZAH
Suasana Perhimpunan Agung Khas UMNO 2022 di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur. - Foto NSTP/ASYRAF HAMZAH
Berita Harian X