Ahad, 15 Mei 2022 | 2:10pm

Pengguna mengeluh harga bahan mentah naik mendadak

JOHOR BAHRU: Harga bahan mentah, terutama sayuran dan hidupan laut yang naik mendadak sehingga 50 peratus sejak Aidilfitri lalu menyebabkan pengguna bukan sahaja terbeban, malah mereka terpaksa mengehadkan perbelanjaan.

Tinjauan di pasar basah di Pandan, di sini, mendapati ramai pengguna mengeluh dengan harga bahan mentah yang melonjak naik sehingga barang yang dibeli tidak sebanyak seperti sebelum Ramadan lalu.

Suri rumah, Sharkitini Ishak, 47, berkata dia dan keluarganya sangat terkesan dengan kenaikan mendadak harga barangan mentah, terutama sayuran dan ikan.

Katanya, sebelum ini dia dapat membeli empat jenis sayuran dengan harga RM20 namun kini hanya memperoleh dua jenis sayuran.

"Sejak Aidilfitri lalu harga bahan mentah naik mendadak, terutama sayuran dan hidupan laut.

"Jika dulu belanja RM200 boleh dapat pelbagai jenis lauk. Namun sekarang baru beli tiga jenis sayuran, ikan dan ketam sudah capai jumlah berkenaan. Belum lagi beli ayam.

"Ayam pun ada kawasan jual sehingga RM10.50 walaupun ia sepatutnya dijual pada harga kawalan. Ayam segar ketika ini pula besar-besar sampai 2.5 kilogram (kg) seekor. Kalau nak beli seekor ayam pun harganya sampai RM30 seekor, jadi pegguna macam saya memang sangat terbeban dan tidak mampu beli ayam lebih seekor.

"Oleh kerana harga bahan mentah melonjak naik, saya terpaksa bertukar pada menu makanan lebih murah seperti telur selain banyak menyediakan masakan berkuah seperti soto dan laksa yang boleh dimakan sampai dua hari untuk menjimatkan belanja," katanya ketika ditemui.

Sabtu lalu, NSTP melaporkan harga sayuran naik antara 30 hingga 50 peratus sejak awal Aidilfitri lalu berikutan kekurangan bekalan sesetengah jenis sayur, selain kenaikan mendadak harga baja.

Pengerusi Persekutuan Penanam Sayur-Sayuran Malaysia, Lim Ser Kwee, dilaporkan berkata kenaikan harga sayur turut diburukkan dengan kekurangan tenaga buruh asing di ladang-ladang sayur seluruh negara.

Penjawat awam yang hanya mahu dikenali sebagai Rahmat, 48, berharap kerajaan bertindak lebih tegas dalam memastikan harga bahan mentah tidak terus melonjak naik, sekali gus membebankan pengguna.

Katanya, dia yang bergaji tetap juga menerima tempias bebanan berikutan kenaikan harga, apatah lagi mereka yang bekerja dengan gaji tidak tetap.

"Kenaikan harga memang agak drastik ketika ini bermula pada Aidilfitri lalu. Ia menyebabkan nilai wang perbelanjaan makin mengecil dan barang yang diperoleh semakin berkurangan.

"Saya harap kementerian berkaitan turunlah padang dengan kerap dan buatlah sesuatu. Rakyat sangat terbeban dengan kenaikan harga barang yang melonjak ketika ini," katanya.

Sementara itu, penjual hidupan laut, Jamal Ahmad, 43, berkata harga ikan melonjak sejak Aidilfiri lalu berikutan bekalan yang kurang selain faktor cuaca.

"Hampir semua ikan, udang, ketam dan sotong naik harga bermula Aidilfitri lalu. Antara ikan pilihan ramai yang naik harga adalah ikan selayang, kembung dan tenggiri.

"Ikan selayang kini naik RM4.50 kepada RM15.50 kg berbanding hanya RM11 pada Ramadan lalu. Kembung pula naik RM3 ke RM19 berbanding RM16 manakala tenggiri naik paling tinggi iaitu RM6 daripada RM29 kg kepada RM35 ketika ini.

"Pengguna memang mengeluh namun mereka pun terpaksa membeli kerana tiada pilihan. Cuma mereka kurangkan pembelian, jika sebelum ini beli dua hingga tiga kg, kini hanya beli antara setengah hingga sekilo sahaja," katanya.

Sekitar tinjauan harga barang di Pandan, Johor. NSTP/NUR AISYAH MAZALAN
Sekitar tinjauan harga barang di Pandan, Johor. NSTP/NUR AISYAH MAZALAN
Berita Harian X