Sabtu, 14 Mei 2022 | 3:43pm
Gambar hiasan
Gambar hiasan

Belum ada dasar komprehensif pengeluaran jagung bijian

BENTONG: Kerajaan akan kekal dengan sasaran tempoh perancangan 15 tahun bagi mencapai kestabilan pengeluaran jagung bijian sebagai alternatif kepada dedak dalam usaha mengawal kenaikan harga ayam dan telur ayam di negara ini pada masa depan.

Ketua Pengarah Pertanian, Datuk Zahimi Hassan, berkata buat masa ini belum ada dasar yang menyeluruh dirangka kerajaan bagi pengeluaran jagung bijian.

"Setakat ini kita belum ada dasar yang komprehensif, setakat perancangan jangka panjang. Jadi buat masa sekarang kita akan ikut perancangan ditetapkan.

"Kenapa kita sasarkan 15 tahun, pertamanya kita perlu hasilkan banyak varieti jagung dan memerlukan teknologi bersesuaian.

"Kita juga berhadapan isu kekurangan tanah bagi penanaman, jadi perkara ini perlu diperhalusi juga," katanya kepada BH selepas merasmikan Program Legasi Perkongsian Durian Patuh Syariah yang pertama LKE Musang Queen dinamakan Phase 5: NanasX di sini hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas saranan pengusaha ladang yang mendakwa tempoh 15 tahun yang ditetapkan kerajaan bagi mencapai kestabilan pengeluaran jagung bijian sebagai makanan ternakan dianggap terlalu lama, kerana ia boleh dicapai dalam tempoh lebih cepat.

Pemilik dan Pengarah Famox Plantation (M) Sdn Bhd, Ramana K Naidu, berkata sasaran pengeluaran 600,000 tan jagung bijian negara dapat dicapai dalam masa lebih singkat sekiranya kerajaan mempunyai dasar dan kaedah pelaksanaan lebih berkesan.

Mengulas lanjut, Zahimi berkata iklim negara juga memainkan peranan dalam pengeluaran hasil jagung bijian.

"Kita ada hujan yang tidak menentu, memberi kesan kepada penanaman. Jagung memerlukan musim kering yang nyata, perlu dituai ketika keadaan kelembapan tidak tinggi.

"Kerana itu kita perlu memastikan lokasi dan kawasan yang bersesuaian bagi penanaman jagung," katanya.

Zahimi berkata, kerajaan juga menggalakkan sekiranya ada pemilik atau pengusaha yang mahu bekerjasama menjayakan penanaman jagung bijian.

"Memang kita mengharapkan kerjasama dengan pihak swasta dan industri, kerana mereka ada tanah, kawasan ladang yang luas, nanti kita perhalusi lagi jika ada permintaan yang menggalakkan," katanya.

Berita Harian X