Sabtu, 14 Mei 2022 | 2:38pm

KPDNHEP, MAFI bersama tangani harga sayur naik

KUALA LUMPUR: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) mengambil pendekatan rentas kementerian bagi mengatasi isu harga sayur yang meningkat kerana ia berlaku di peringkat pengeluaran.

Menterinya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi, berkata lonjakan harga sayur di pasaran ketika ini dikenal pasti berpunca daripada peringkat pengeluar, susulan beberapa faktor seperti peningkatan harga baja, kos logistik dan kekurangan sumber tenaga manusia di tapak pertanian.

Justeru, katanya, kerjasama akan dijalin dengan Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) bagi merungkai isu terbabit.

"Saya juga sudah mengarahkan anggota penguat kuasa KPDNHEP untuk menjalankan siasatan sekiranya terdapat aktiviti pencatutan.

"Siasatan akan dijalankan mengikut Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan (AKHAP) 2011 yang mana tindakan tegas akan diambil sekiranya ada peniaga mengambil keuntungan secara tidak munasabah atau mencatut.

"Pihak kementerian juga ada menerima laporan kenaikan harga sayur dan kes akan disiasat mengikut kes demi kes," katanya.

Pengerusi Persekutuan Penanam Sayur Sayuran Malaysia, Lim Ser Kwee, sebelum ini mendedahkan harga sayuran naik di antara 30 hingga 50 peratus sejak Aidilfitri lalu, berikutan kekurangan bekalan sesetengah jenis bekalan, selain kenaikan mendadak harga baja.

Katanya, kenaikan harga sayur turut diburukkan dengan kekurangan tenaga buruh asing di ladang sayur seluruh negara.

Alexander berkata semakan mendapati perubahan harga semasa barang keperluan asas itu dipacu rangkaian faktor luaran.

"Harga sayur meningkat kerana kos logistik dan baja yang juga mewakili sebahagian besar daripada penentuan harga akhir untuk dijual di pasaran.

"Selain itu, kesukaran mendapatkan tenaga kerja menyebabkan hasil tidak dapat dikeluarkan secara maksimum, sekali gus mengakibatkan bekalan berkurangan yang akhirnya menyumbang kepada punca kenaikan harga sayuran di pasaran," katanya kepada BH, hari ini.

Mengulas lanjut, Alexander berkata, rangkaian faktor itu mewakili hampir 90 peratus daripada perubahan harga sayur di pasaran.

Dalam pada itu, beliau berkata, bagi sayuran import, harga di negara pengeluar yang meningkat dan masalah pengeluaran lain seperti isu kenaikan harga input pertanian serta cuaca di negara pengeluar turut memberi kesan.

Berita Harian X