Sabtu, 14 Mei 2022 | 12:39am
Jenazah tiga pelajar USAS dibawa ke Masjid Raja Permaisuri Bainun untuk disolatkan sebelum dibawa pulang ke kampung halaman masing-masing untuk pegebumian. - NSTP / MUHAMMAD ZULSYAMINI SUFIAN SURI
Jenazah tiga pelajar USAS dibawa ke Masjid Raja Permaisuri Bainun untuk disolatkan sebelum dibawa pulang ke kampung halaman masing-masing untuk pegebumian. - NSTP / MUHAMMAD ZULSYAMINI SUFIAN SURI

Sanggup tunggu 2 jam untuk solat jenazah 3 pelajar USAS

KUALA KANGSAR: Ratusan jemaah rata-ratanya pelajar Universiti Sultan Azlan Shah (USAS) sanggup menunggu sehingga dua jam untuk mendirikan solat jenazah tiga rakan mereka yang maut dalam kemalangan di Kilometer 245.2 Lebuhraya Utara Selatan arah utara, di sini, pada tengah malam Khamis lalu.

Tiga jenazah Iqbal Hasnun Halimi, 23; Muhammad Nasrun Aidol Munir Akbar,22 dan Muhammad Nabil Haikal Muhammad Fariz, 19, yang baru selesai proses pengecaman di Hospital Taiping, tiba di perkarangan Masjid Raja Permaisuri Bainun di USAS kira-kira jam 11.15 malam.

Selain jemaah majoritinya pelajar, turut kelihatan menyertai solat jenazah adalah Naib Canselor USAS, Tan Sri Prof Dr Nordin Kardi serta Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Sumber Manusia Perak, Ahmad Saidi Mohamad Daud.

Perasaan hiba menyelubungi kawasan masjid terutama apabila bapa kepada tiga jenazah itu masing-masing diberi ruang untuk berucap kepada jemaah selepas selesai solat jenazah.

Selepas itu, ketiga-tiga jenazah sekali lagi disolatkan waris atau keluarga masing-masing sebelum konvoi membawa jenazah meninggalkan perkarangan tepat jam 12 tengah malam.

Suasana turut hangat apabila ketibaan konvoi bersama jenazah di masjid serta sejurus berlepas ke kampung halaman masing-masing untuk dikebumikan, disulami laungan takbir.

Terdahulu, kelihatan puluhan jemaah mengalunkan bacaan tahlil serta surah Yasin untuk lima pelajar USAS yang maut dalam nahas itu, sementara menunggu ketibaan jenazah yang pada mulanya dijadual jam 9 malam.

Semalam, dua dari lima jenazah mangsa nahas berkenaan iaitu Ahmad Naim Najmi Ahmad Hafizan, 21; serta Ahmad Akmal Ahmad Mokhlis, 20, turut disolatkan ratusan jemaah di masjid sama selepas prose pengecaman identiti mereka selesai.

Berita Harian X