KUALA LUMPUR: Seramai 255 petugas kesihatan Kementerian Kesihatan (KKM) termasuk 128 daripadanya kalangan mereka yang pernah menyertai operasi sebelum ini akan ditugaskan di Tanah Suci sempena musim haji tahun ini.
Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin, berkata petugas perubatan itu terdiri daripada pelbagai skim perkhidmatan seperti perubatan, farmasi, jururawat, pembantu perawatan kesihatan dan penjagaan Spiritual bagi membantu Tabung Haji (TH) melancarkan perjalanan ibadah haji pada tahun ini.
"Seperti tahun terdahulu, petugas perubatan KKM akan membantu mengendalikan kes berkaitan perubatan yang dihadapi oleh jemaah haji selain turut mengoperasikan fasiliti kesihatan sepanjang berada di Tanah Suci.
"Susulan daripada risiko penularan COVID-19, KKM pada tahun ini turut membekalkan sekurang-kurangnya 3,000 'patient course ubat antiviral Paxlovid' sebagai persediaan merawat jemaah haji yang dijangkiti semasa berada di tanah suci," katanya dalam kenyataan, hari ini.
Khairy berkata, ubat antiviral terbabit akan diberikan kepada jemaah haji positif COVID-19 yang memenuhi kriteria yang sudah ditetapkan.
"Petugas perubatan KKM akan menilai kesesuaian pesakit sebelum boleh memulakan rawatan dengan ubat Paxlovid.
"Selain rawatan ubat Paxlovid, langkah-langkah pencegahan dan kawalan infeksi akan dipertingkatkan bagi mengawal penularan COVID-19 dan penyakit berjangkit yang lain," katanya.
Justeru beliau memaklumkan, bagi membiayai perbelanjaan perkhidmatan kesihatan jemaah haji Malaysia pada tahun ini, kerajaan meluluskan pembiayaan sebanyak RM5 juta yang merangkumi perolehan ubat-ubatan dan alat perubatan serta tambang penerbangan dan elaun petugas perubatan.
Dalam pada itu katanya, KKM mengesyorkan semua bakal jemaah haji terutama individu berusia 60 tahun dan ke atas dan individu dewasa berumur 18 hingga 59 tahun yang mempunyai risiko klinikal penyakit teruk, untuk mengambil peluang mendapatkan dos penggalak kedua sebelum berangkat ke Tanah Suci.
"Langkah ini bagi memberikan perlindungan optimum daripada jangkitan COVID-19 yang teruk dan kematian," katanya.
Katanya, berdasarkan syor terkini Jawatankuasa Kerja Teknikal (TWG) berkenaan pemberian dos penggalak kedua seperti diumumkan sebelum ini, individu berumur 60 tahun dan ke atas boleh menerima dos penggalak kedua secara sukarela dalam tempoh empat hingga enam bulan selepas menerima suntikan dos penggalak pertama.
"Sementara individu dewasa berumur 18 hingga 59 tahun yang mempunyai risiko klinikal penyakit teruk (seperti penyakit kronik jantung, paru-paru, buah pinggang, hati dan lain-lain) boleh ditawarkan dos penggalak kedua dalam tempoh empat hingga enam bulan selepas menerima suntikan dos penggalak pertama selepas berbincang dengan pengamal perubatan
berdaftar.
"Pun begitu, KKM ingin memaklumkan bahawa pengambilan vaksin dos penggalak kedua ini adalah secara sukarela," katanya.
Khairy turut mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada pihak Lembaga Tabung Haji atas kerjasama yang diberikan terutama berkaitan dengan pemilihan petugas haji perubatan.
"Diharapkan dengan ketersediaan petugas perubatan KKM ini, jemaah haji Malaysia dapat melaksanakan ibadah mereka dengan sempurna tanpa menghadapi sebarang masalah kesihatan," katanya.
Pada tahun ini, kerajaan Arab Saudi membenarkan pelaksanaan ibadah haji kepada sejuta jemaah haji dari semua negara selepas dua tahun ia ditangguhkan akibat pendemik COVID-19.
Seperti negara lain, kuota haji yang ditawarkan kepada Malaysia pada tahun ini dihadkan kepada hanya 45 peratus daripada kuota pada 2019 iaitu 14,306 orang jemaah berbanding 31,600 orang.